Velappan yakin bola sepak Malaysia mampu capai tahap lebih baik. FOTO THE INDEPEDENT
Velappan yakin bola sepak Malaysia mampu capai tahap lebih baik. FOTO THE INDEPEDENT
BERNAMA

Nilai: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu perubahan positif demi kemajuan dan pembangunan bola sepak di negara ini menerusi pucuk pimpinan baharu badan induk bola sepak negara itu.

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan berkata ini kerana, semua pihak mahu melihat perubahan itu dan pucuk pimpinan baharu FAM harus merealisasikannya.

"Ini harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kebangkitan bola sepak negara. Apa yang kita mahukan dalam bola sepak antaranya adalah memberi balik kepada masyarakat. Ketua yang baik, pengurusan dan jurulatih di peringkat negeri yang boleh membantu memberikan FAM wajah baharu. "Jadi, FAM perlu memulakan semuanya dari peringkat akar umbi bermula di sekolah lagi. Tidak ada lagi kejohanan di peringkat sekolah dan kelab juga dilihat lemah, jadi, jika perkara ini dibiarkan berterusan maka bola sepak tidak akan sesekali berkembang," katanya, hari ini.

Beliau ditemui selepas pelancaran Klinik Yayasan Real Madrid oleh pengerusi Lembaga Pengelola Epsom College in Malaysia (ECiM) Tan Sri Dr Tony Fernandes.

Peter Velappan berkata pucuk pimpinan baharu FAM perlu memainkan peranan bermula di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak.

Justeru, beliau berkata mana-mana presiden baharu yang dipilih selepas ini perlu mengkaji secara mendalam mengenai struktur terbaharu di FAM termasuk di peringkat kelab, negeri mahupun kebangsaan.

"Saya percaya, jika kita mempunyai satu pasukan yang baik, kita mampu untuk membawa bola sepak di negara ini ke tahap lebih baik," katanya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, sah bertanding jawatan Presiden FAM. Pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 7:26 PM