Mohd Gadaffie lega semua atlet Johor tidak terbabit dalam penggunaan bahan terlarang. FOTO fail HM Digital
Mohd Gadaffie lega semua atlet Johor tidak terbabit dalam penggunaan bahan terlarang. FOTO fail HM Digital
BERNAMA

JOHOR BAHRU: Johor mengekalkan rekod bersih apabila kesemua atlet mewakili negeri pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak, bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz berkata ujian doping itu dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan MSN sebelum Sukma berlangsung.

“Alhamdulillah, semua atlet bebas daripada penggunaan barang terlarang seperti dadah dalam ujian doping yang dijalankan sebelum Sukma sebab kalau gagal ujian itu, mereka tidak dibenarkan untuk bertanding,” katanya kepada Bernama, hari ini.

“Sejak edisi pertama Sukma, atlet Johor tidak pernah mempunyai rekod dalam penyalahgunaan dadah sekaligus mengekalkan rekod bersih.

Tambahnya, untuk terus kekalkan rekod itu ujian doping akan diadakan dengan lebih kerap mungkin 6 bulan sekali terutama menjelang Sukma 2020 yang mana Johor sebagai tuan rumah.

Sementara itu, Program Pembangunan Atlet Titanium 20 (Ti20) akan diteruskan bagi mengekalkan kecemerlangan atlet pada Sukma akan datang.

Mohd Gadaffie berkata antara tujuh acara yang terbabit dalam program itu adalah olahraga, bowling, renang dan menembak.

Bagaimanapun, acara yang tidak tersenarai akan diwujudkan projek khas lain oleh pihak MSN.

“Sebagai contoh, silat dan tinju namakan projek KO sebab kita tahu kalau nak labur dalam satu sukan itu kena bangunkan atlet itu.

Selain itu, beliau menyuarakan keyakinan dengan kelebihan berentap di tempat sendiri mampu meningkatkan kutipan jumlah pingat pada Sukma 2020.

Pada kejohanan itu di Perak bulan lalu, kontinjen Johor berjaya merangkul 29 pingat emas, 34 perak dan 37 gangsa melebihi jumlah sasaran 25 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 3:43 PM