PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How. FOTO Abdullah Yusof
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim


IPOH: Perak menafikan atletnya terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 berlangsung baru-baru ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, atlet yang didakwa positif bahan terlarang 'tramcinolone acetonide' itu sebenarnya mengambilnya mengikut dos yang dibenarkan ketika ujian dilakukan terhadapnya.

“Pengambilan triamcinolone oleh atlet judo Perak yang bertanding pada SUKMA 2018 baru-baru ini mengikut dos serta kaedah yang dibenarkan," kata Howard pada sidang media di sini hari ini. 

Menurut Howard, triamcinolone diberikan kepada atlet berumur 21 tahun berkenaan menerusi kaedah suntikan pada kawasan sendi bagi mengurangkan kesakitan di bahunya yang cedera.

Walaupun triamcinolone adalah bahan larangan, namun menurut Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) suntikan pada kawasan sendi (intra-articular) adalah dibenarkan.

"Ia dibenarkan sama ada atlet dalam pertandingan atau di luar pertandingan," katanya.

Ia susulan dakwaan pengesanan bahan terlarang dalam ujian doping SUKMA 2018 membabitkan atlet wanita sukan judo tuan rumah seperti yang diumumkan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, baru-baru ini.

Atlet judo yang meraih pingat itu didapati positif bahan triamcinolone acetonide (tergolong dalam kategori S9 glucocorticoids, senarai larangan tahun 2018).

Howard berkata, laporan oleh pihak ADAMAS menunjukkan sampel yang diambil untuk ujian doping disahkan mengandungi 'triamcinolone acetonide’ mengikut dos yang dibenarkan.

Menurutnya, atlet berkenaan mengalami kecederaan bahu yang agak serius pada 6 September lalu ketika menjalani latihan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan.

Pegawai perubatan yang bertugas melakukan rawatan suntikan intra-articular pada bahagian sendi untuk memulihkan kecederaan serta mengurangkan kesakitan atlet berkenaan.

Howard turut kesal kerana walaupun proses pendengaran ujian antidoping itu belum selesai, isu itu sudah tular di media sosial sehingga menjejaskan nama atlet berkenaan.

"Walaupun nama atlet tidak dinyatakan, tapi bila ditularkan nama acara, pingat apa dan negeri mana seolah ia (positif doping) telah muktamad.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tidak ada unsur penyalahgunaan dalam kes berkenaan," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 9:48 PM