KVYAT (kiri) kembali bersama pasukan Toro Rosso musim depan. - Foto Agensi
KVYAT (kiri) kembali bersama pasukan Toro Rosso musim depan. - Foto Agensi
Reuters

SOCHI, Russia: Daniel Ricciardo mahu melihat keazaman yang kuat daripada Daniil Kvyat apabila warga Russia itu kembali ke Formula Satu sebagai pemandu Toro Rosso musim depan.

Pemandu Australia yang periang itu malah mencadangkan skrip: “Kini tiba masanya kebangkitan semula ‘The Torpedo’,” kata pemandu Red Bull itu kepada wartawan pada Grand Prix Russia apabila ditanya mengenai bekas rakan sepasukannya, yang diumumkan akan kembali berlumba, semalam.

“Jika saya Dani, saya akan meletakkan torpedo di topi keledar... saya akan tweet atau menulis ‘The Torpedo kembali’. Jika dia melakukannya, ia pasti gempak.”

Kvyat, yang baru berusia 24 tahun, digugurkan oleh Toro Rosso serta pemilik mereka Red Bull pada 2017 dan menghabiskan sepanjang tahun ini di Ferrari sebagai pemandu pembangunan.

Dia menerima julukan ‘Torpedo’ selepas pemandu Ferrari, Sebastian Vettel merungut pada GP China 2016 bahawa pemandu Russia itu cuba memotongnya dari sebelah dalam ‘seperti torpedo’ sekali gus menyebabkan perlanggaran.

Vettel turut memanggilnya ‘orang gila’ dan tindakannya sebagai ‘bunuh diri’.

Kvyat tampil pada GP Russia tahun lalu dengan topi keledar direka khas memaparkan karakter kartun menunggang torpedo.

Ricciardo bergandingan dengan Kvyat di Red Bull pada 2015 dan sebahagian 2016 - pemandu muda itu dihantar kembali ke Toro Rosso selepas GP Russia tahun itu berikutan satu lagi perlanggaran dengan Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 11:44 AM