HARTLEY (gambar kecil) sekali lagi akan diturunkan menggantikan Kvyat untuk GP Mexico. -Foto AFP
HARTLEY (gambar kecil) sekali lagi akan diturunkan menggantikan Kvyat untuk GP Mexico. -Foto AFP
Reuters

MEXICO CITY: Toro Rosso menggugurkan pelumba Russia, Daniil Kvyat bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico, hujung minggu ini dan sekali lagi menyenaraikan Brendon Hartley susulan persembahan baik di Texas.

Pelumba Perancis, Pierre Gasly juga kembali disenaraikan selepas dia terlepas GP Amerika Syarikat (AS) minggu lalu bagi melengkapkan pusingan terakhir kejuaraan Formula Super Jepun yang digagalkan susulan cuaca buruk.

Hartley yang juga pelumba kelahiran New Zealand, menamatkan GP AS di tangga ke-13 di Litar Americas dengan pendekatan tenang terutama di pusingan terakhir selain tidak melakukan sebarang kesilapan besar sepanjang perlumbaan.

“Barisan pelumba bagi pasukan Scuderia Toro Rosso untuk perlumbaan Grand Prix Mexico 2017 akan dikendalikan oleh Pierre Gasly dan Brendon Hartley,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

Gasly berlumba buat pasukan milik Red Bull di GP Malaysia dan Jepun bersama pelumba Sepanyol, Carlos Sainz yang kini berpindah ke Renault.

Ini kali ketiga Kvyat digugurkan oleh Red Bull dan tiada sebarang tanda bila dia akan kembali berlumba yang mengesahkan pemandu 23 tahun itu tidak berada dalam perancangan masa panjang syarikat berkenaan.

Toro Rosso bertindak sebagai pasukan sokongan buat Red Bull Racing dengan mengetengahkan pelumba-pelumba muda. Kvyat pernah bertindak sebagai pelumba yang mengisi kekosongan di pasukan utama itu sebelum digugurkan.

Hartley yang kini berusia 27 tahun, sebelum ini pernah digugurkan daripada program Red Bull selepas mengharungi ujian bersama Toro Rosso pada tahun 2009.

Begitupun, dia membuat kepulangan semula menakjubkan apabila memenangi perlumbaan 24 jam Le Mans dan Kejuaraan Perlumbaan Lasak Dunia selepas itu dan menjadi pelumba New Zealand pertama memandu jentera F1 dalam tempoh 33 tahun.

Toro Rosso masih lagi menilai pilihan mereka bagi musim 2018 dengan Gasly hampir pasti mengesahkan kedudukannya selain Hartley.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:50 PM