LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON
AFP

SOCHI, Russia: Juara bertahan, Lewis Hamilton dan Mercedes akan berusaha mengukuhkan kedudukan dalam kejuaraan pemandu serta pengeluar Formula Satu dengan sasaran untuk memenangi Grand Prix Russia buat kali kelima berturut-turut.

Tiada pasukan pernah memenangi GP Russia sejak ia diperkenalkan pada 2014 apabila ia dimenangi Hamilton dua kali pada 2014 dan 2015, Nico Rosberg 2016 dan Valtteri Bottas tahun lalu.

Dengan kelebihan 40 mata dalam kejuaraan pemandu mengatasi seteru terdekat, Sebastian Vettel (Ferrari), Hamilton yang juga juara dunia empat kali dilihat mempunyai bekalan keyakinan tinggi untuk menamatkan baki enam perlumbaan musim ini selepas memenangi empat perlumbaan daripada lima saingan terakhir.

Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff bagaimanapun memberi amaran supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan kerana mereka kini memasuki fasa paling kritikal.

Kemenangan Hamilton di GP Singapura yang menyaksikan kepantasannya ketika menyambar petak pertama dilabel sebagai antara terbaik sepanjang zaman, memberi isyarat jelas dia mempunyai setiap kelebihan ketika ini.

Bagaimanapun Wolff menegaskan seteru utama seperti Ferrari kekal menjadi ancaman utama mereka.

“Masih ada baki enam pusingan lagi untuk dilalui dan banyak mata ditawarkan. Jadi ia tidak memberikan kami untuk berasa terlalu selesa.

“Kami akan cuba untuk memberi tumpuan kepada setiap sesi dan mengoptimumkan jentera di setiap sudut.

“Kami amat teruja untuk bersaing pada baki enam pusingan. Kami mempunyai rekod baik di Sochi tapi kami juga sedar Ferrari dan Red Bull akan memberikan segala-galanya untuk menggagalkan impian kami melakar kemenangan.

“Jadi kami perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Wolff juga menegaskan beliau tidak berasa terkejut sekiranya Bottas bangkit semula di litar yang menyaksikannya memenangi perlumbaan tahun lalu di sebalik gagal bersaing dalam perebutan kejuaraan pemandu musim ini.

“Bagi setiap pemandu, ia situasi yang amat sukar kerana apa yang anda impikan adalah untuk memenangi kejuaraan dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 12:43 PM