MOURINHO menghadiahkan kemenangan di Burnley kepada Woodward. -Foto EPA
MOURINHO menghadiahkan kemenangan di Burnley kepada Woodward. -Foto EPA
AFP

BURNLEY: Jose Mourinho menghadiahkan kemenangan 2-0 Manchester United di Burnley malam tadi kepada ketua eksekutif kelab, Ed Woodward.

Pengendali United itu mendapat sokongan padu penyokong yang bertandang ke Turf Moor, di mana sebelum perlawanan kelihatan sebuah kapal terbang kecil membawa sepanduk yang tertulis: “Ed Woodward, pakar yang gagal.”

Tuduhan itu - sebelum ini pernah dilaungkan Mourinho kepada bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger - merujuk kepada kegagalan Woodward memenuhi sasaran perpindahan diletakkan pengendali itu sepanjang musim panas.

Sambil memuji sokongan padu diberikan penyokong United ketika kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Tottenham, Mourinho turut menunjukkan sokongan kepada Woodward.

“Pada perlawanan itu saya tidak melihat ke langit, kecuali jika saya meminta pertolongan dari atas,” kata Mourinho berseloroh.

“Saya tidak nampak kapal terbang itu, tetapi Ed Woodward menang petang ini, 2-0.”

Pada pertembungan keempat Liga Perdana itu, Romelu Lukaku meledak dua gol di babak pertama untuk membawa United kembali di landasan kemenangan.

Perlawanan itu turut menyaksikan Marcus Rashford, yang menanduk Phil Bardsley, dilayangkan kad merah 10 minit selepas dimasukkan di babak kedua dan mencetuskan reaksi serta merta Maurinho.

“Saya tidak melihatnya, satu perkara yang boleh saya katakan ialah pengalaman Bardsley, 20 tahun dalam bola sepak, bertembung dengan pemain muda yang ghairah dan naif serta baru tiga tahun di peringkat bola sepak tertinggi.

“Keras? Saya tidak tahu. Anda mungkin boleh melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain dan meneruskan permainan, mungkin,” kata Mourinho mengenai hukuman pengadil melayangkan terus kad merah kepada Rashford.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 8:03 AM