ATLET pelayaran negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah. FOTO NSTP
ATLET pelayaran negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah. FOTO NSTP
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Malaysia hampir pasti meraih emas dalam acara Laser 4.7 selepas berakhir perlumbaan ke-11 hari ini.

Atlet muda negara, Fauzi Kaman Shah mendahului perlumbaan dengan 19 mata menjelang perlumbaan terakhir pada hari kemerdekaan negara, Jumaat ini.

Dia tidak akan mampu dikejar pelumba China, Wang Jianxiong pada kedudukan kedua dengan 40 mata manakala ketiga, Harshita Tomar dari India dengan 50 mata.

Malah Malaysia mampu meraih emas kedua menerusi Khairulnizam Mohd Afendy yang mengumpul 19 mata dengan lawan dari Korea Selatan, Ha Jeemin pertama dengan 17.8 mata.

"Saya tidak boleh berpuas hati dengan perak yang sudah dalam genggaman. Saya akan cuba memburu emas ada Jumaat ini, peluang tetap ada," kata Khairulnizam.

Malah dia bakal muncul atlet pertama negara melayakkan diri ke Olimpik 2020 dengan kedudukan kedua selepas Ha Jeemin sudah mengesahkan tiket pada Kejohanan Dunia dua minggu lalu.

Menurut Khairulnizam, Ryan Lo dari Singapura yang berada pada kedudukan ketiga sudah tidak mampu mengatasinya.

Turut berpeluang meraih pingat dan tiket Olimpik adalah Nur Shazrin Muhamad Latif yang berada pada kedudukan keempat Laser Radial.

Dua pendahulu dari Jepun dan China sudah meraih tiket ke Olimpik 2020 pada Kejohanan Dunia baru-baru ini dan Shazrin kini bersaing dengan peserta Thailand, Chanwin Kamolwan yang terikat 34 mata.

Bagaimanapun penolong pengurus pasukan, Nik Ashraf Nik Azizan mengesahkan kejayaan emas dan tiket Olimpik hanya akan diumumkan secara rasmi selepas perlumbaan ke-12 pada Jumaat ini.

"Kita sudah hampir 80 peratus raih emas namun perlu tunggu perlumbaan akhir pada Jumaat ini bagi menjadikan ia secara rasmi.

"Peserta boleh untuk "discard" satu daripada 12 perlumbaan yang dikategorikan paling tidak menyumbang mata namun pada masa yang sama mereka juga boleh disingkirkan sekiranya melakukan kesalahan yang teruk. 

"Pada masa yang sama kita menghormati pihak penganjur dalam pengumuman pingat secara rasmi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:36 PM