SYAZRIN (kiri) berjaya merangkul emas di Kejohanan Pelayaran Asia 2022 di Dubai. -FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
SYAZRIN (kiri) berjaya merangkul emas di Kejohanan Pelayaran Asia 2022 di Dubai. -FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Emas yang diraih atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif di Kejohanan Asia di Dubai semalam bakal dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi saingan lebih besar terutama di Sukan Asia Hangzhou September depan.

Shazrin yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu berjaya menggondol emas dalam acara laser radial wanita selepas berjaya mengumpul sembilan mata, untuk menumpaskan wakil India, Nethra Kumanan yang meraih 17 mata.

Sementara itu, atlet pelayaran dari Hong Kong, Nancy Highfield berjaya membawa pulang gangsa selepas mengumpul 27 mata beza dua mata dengan Victoria Chan dari Singapura.

"Secara keseluruhan (dari hari pertama) semuanya berjalan dengan sempurna. Cuma keadaan di sini agak tidak menentu. Apa pun ia permulaan yang baik buat saya untuk Sukan Asia nanti," kata atlet berusia 24 tahun itu.

Shazrin yang menduduki tempat ke-26 di Olimpik keduanya di Tokyo, mengakui berdepan lawan hampir sama ketika dia meraih gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018.

"Cuma kali ini tidak ada wakil dari Jepun dan China. Jepun mungkin akan membariskan pelayar baru di Hangzhou nanti," katanya yang kali pertama beraksi di Olimpik pada Rio 2016.

Menurut atlet kelahiran Johor itu, dia sekarang akan bekerja keras untuk cuba menukar warna pingat di Hanzhou nanti yang juga Sukan Asia keduanya selepas Jakarta.

"China dan Jepun selalunya membariskan atlet yang lebih senior berbanding saya namun ia bukan penghalang buat kita dari Malaysia mencabar mereka. Apa yang penting adalah sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap perlumbaan," katanya.

Di Dubai Shazrin memulakan perlumbaan pusingan pertama dengan langkah kanan apabila menduduki tempat pertama, selepas berjaya mengekalkan kedudukan berkenaan di pusingan kedua, nasib kurang menyebelahinya di pusingan ketiga apabila meraih kedudukan kedua.

Bagaimanapun, dia bangkit semula pada pusingan keempat, kelima dan keenam dengan memenangi perlumbaan berkenaan sebelum menduduki tempat kedua di pusingan ketujuh.

Sementara itu, seorang lagi atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy meraih perak dalam acara laser standard apabila dia hanya dipisahkan dengan lima mata di belakang wakil India, Vishnu Saravanan.

Gangsa dalam acara berkenaan diraih Nicholas Bezy dari Hong Kong iaitu lawan yang pernah ditentang Khairulnizam ketika dia meraih perak di Sukan Asia Jakarta 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 12:37 PM