PEMAIN Manchester United sudah bercakap mengenai kemungkinan Zidane akan menggantikan tempat Mourinho. Foto EPA
PEMAIN Manchester United sudah bercakap mengenai kemungkinan Zidane akan menggantikan tempat Mourinho. Foto EPA
Agensi

PEMAIN dan staf Manchester United percaya Jose Mourinho mungkin dipecat sekiranya skuad kendaliannya tewas sekali lagi di Burnley, Ahad ini.

Prospek penyingkiran Mourinho oleh Ketua United, Ed Woodward dibincangkan secara terbuka selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Brighton dan Tottenham.

Suasana ketika ini hampir sama seperti hari-hari terakhir Louis van Gaal di Old Trafford pada 2016 sebelum dia digantikan oleh Mourinho dengan pemain mula membincangkan mengenai kemungkinan Zinedine Zidane menjadi pengurus.

“Mereka berkata Jose akan pergi tidak lama lagi,” kata sumber memetik media Britain, hari ini. “Sesetengahnya berfikir dia akan keluar jika mereka tewas di Burnley. Sesetengah lagi tidak dapat melihat dia akan kekal melebihi September.

“Kita sudah melihat perkara ini sebelum ini dan perasaannya sama. Kelab akan berkata mereka menyokong Jose tetapi kita semua melihat apa yang berlaku kepada Louis. 

“Pemain sudah bercakap mengenai kemungkinan Zidane datang ke sini.”

Semalam, United terus menyatakan sokongan terhadap Mourinho dengan mengatakan peluang untuk melihat pengendali itu melepaskan kontraknya yang bernilai 15 juta pound (RM79.15 juta) setahun adalah tipis.

Woodward dikatakan tidak mahu membuat tiga perubahan dalam tempoh empat setengah tahun tetapi dia akan berdepan tekanan yang amat tinggi jika United mengharungi kekalahan ketiga berturut-turut, Ahad ini.

Mourinho terus nampak tertekan selepas kekalahan 0-3 kepada Spurs, Isnin lalu apabila meninggalkan sidang media dan menuntut lebih rasa hormat selepas memenangi tiga gelaran bersama Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 3:21 PM