SANCHO menjadi sasaran utama United. FOTO AFP
SANCHO menjadi sasaran utama United. FOTO AFP
Agensi

MANCHESTER United sedang mempertimbangkan untuk menamatkan pemburuan bagi mendapatkan bintang England, Jadon Sancho.

Pengurusan United nyata kecewa dengan keengganan Borussia Dortmund untuk mengadakan perbincangan dan kini mahu melihat alternatif lain.

United menjadikan Sancho sasaran utama mereka pada musim panas dan yakin mampu mendapatkan pemain berusia 20 tahun itu ke Old Trafford.

Sancho sudah pun mengadakan perbincangan bersama pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dan difahamkan kelab itu secara prinsipal sudah bersetuju menawarkannya kontrak.

Bagaimanapun kedua-dua kelab gagal mencapai persetujuan berhubung nilai perpindahan Sancho dengan Dortmund meletakkan harga £108 juta (RM574.1 juta) manakala United menilai pemain itu sekitar £80 juta (RM425.3 juta).

Naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward percaya Dortmund mahu 'mengugut' kelabnya dan atas faktor berkenaan kelab Jerman itu tidak konsisten terhadap isu penjualan Sancho.

Namun kejayaan United mendapatkan pemain antarabangsa Belanda, Donny van de Beek dari Ajax dengan nilai £40 juta (RM212.6 juta), semakin meyakinkan Woodward bahawa nilai Sancho tidak setinggi seperti didakwa Dortmund.

Woodward sedar masa semakin suntuk sebelum pintu perpindahan pemain berakhir 5 Oktober depan dan kini mungkin akan beralih arah kepada pemain Juventus, Douglas Costa, Joao Felix (Atletico Madrid) atau memburu bintang Real Madrid, Gareth Bale.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 9:56 AM