PHELAN (kanan) dan Solskjaer (dua dari kanan) antara nama yang dicadangkan Ferguson untuk kendali United. FOTO/AGENSI
PHELAN (kanan) dan Solskjaer (dua dari kanan) antara nama yang dicadangkan Ferguson untuk kendali United. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Bekas pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson dilaporkan turut campur tangan mendapatkan khidmat bekas penyerang kelab itu, Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara Red Devils.

Solskjaer dipilih untuk mengambil alih tugas pengurus di Old Trafford, selepas Naib Pengerusi Eksekutif kelab itu, Ed Woodward mengambil keputusan untuk memecat Jose Mourinho, sebaik tewas kepada Liverpool di Anfield.

Pada masa sama, Ferguson juga dikatakan menjadi watak penting mendapatkan semula bekas pembantunya, Mike Phelan, 56, untuk menggalas tugas sama membantu Solskjaer.

Woodward begitu terdesak untuk mendapatkan pengganti yang tepat selepas kegagalan David Moyes, Louis van Gaal dan Mourinho.

Beliau mendapatkan nasihat Ferguson ketika ingin mengambil keputusan untuk memecat Mourinho selepas United tewas 1-3 di Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ferguson memastikan Solskjaer cukup bersedia menggalas tugas sementara itu secara pinjaman selama enam bulan dari kelab Norway, Molde, manakala Phelan pula dari kelab Australia, Central Coast Mariners.

Sumber kelab memberitahu: "Selepas Woodward mengadakan perbincangan dengan keluarga Glazers dengan memaklumkan mahu memecat Mourinho, beliau perlu memastikan memperoleh calon yang tepat untuk sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek.

"Ferguson kemudian membantu untuk mendapatkan Solskjaer dan Phelan."

Gandingan itu memberi impak positif apabila United berjaya menewaskan Cardiff 5-1, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 10:15 PM