Khairul lega Poad (kanan) akan ke Jakarta. FOTO fail HM Digital
Khairul lega Poad (kanan) akan ke Jakarta. FOTO fail HM Digital
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan kini boleh menghela nafas lega apabila mendapat perkhabaran gembira apabila jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim sah akan bersamanya di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Khairul Hafiz yang digelar The Flying Jantan yang dijadualkan berlepas ke Jakarta Jumaat ini, mengakui fokusnya dan rakan lain termasuk Muhammad Zulfiqar Ismail dan Haikal Hanafi terjejas selepas mendapat tahu Poad tidak bersama dengannya pada temasya itu. 

“Saya akui jika jurulatih tidak bersama kami, memang akan sedih. Beliau adalah kekuatan kami. Kehadirannya sangat penting kerana beliau akan memberitahu kesalahan dan apa yang perlu dilakukan jika kami semua buat salah.

“Saya tidak dapat bayangkan kalau dia tidak ada bersama. Selepas mendapat tahu dia akan ke Jakarta, ia cukup melegakan dan kini saya sudah boleh fokus kepada acara saya nanti,” katanya hari ini. 

Terdahulu, Poad dimaklumkan tidak akan ke Jakarta kerana masalah kewangan yang melanda Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sehingga memaksanya mencari dana sendiri untuk menyaksikan anak buahnya bertanding. 

Terpanggil dengan masalah itu, produk penjagaan kulit organik terbaik di Asia, Orgga tampil memberi tajaan hampir bernilai RM10,000 kepada Poad dan seorang lagi jurulatih kepada atlet lompat jauh, Lukman Hakim Ramlan, Mohd Firdaus Salim ke temasya itu. 

Khairul Hafiz dijadualkan beraksi dalam acara 100 meter berharap dapat bersaing dengan pelari terkemuka China, Su Bingtian yang juga pemegang rekod Asia dengan catatan 9.91 saat. 

Dia turut menyasarkan dapat memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100m bersama-sama Haikal, Zulfiqar dan Johnathan Nyepa.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:41 PM