JURULATIH Badminton negara Datuk Misbun Sidek, memberi nasihat kepada pemain perseorangan, Lee Zii Jia ketika acara berpasukan di Stadium Istora Senayan menentang Jepun. FOTO Fathil Asri
JURULATIH Badminton negara Datuk Misbun Sidek, memberi nasihat kepada pemain perseorangan, Lee Zii Jia ketika acara berpasukan di Stadium Istora Senayan menentang Jepun. FOTO Fathil Asri
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mahu beregu lelaki dan campuran negara mendapatkan pingat di Sukan Asia menerusi acara individu yang bermula Rabu ini.

Selepas tewas 0-3 kepada Jepun dalam aksi berpasukan, hari ini sekali gus menyaksikan skuad negara tersungkur buat pertama kali di pusingan pertama dalam sejarah temasya itu, beliau mahu kesemua pemain negara melupakan kekecewaan itu dan bangkit menampilkan aksi lebih meyakinkan.

"Memang saya kecewa kerana mereka tewas mudah hari ini dan ini menunjukkan mereka gagal menyaingi Jepun, bagi saya kekalahan (Goh) V Shem-(Tan) Wee Kiong memang tidak boleh diterima.

"Saya mahu mereka segera lupakan kegagalan ini dan bangkit semula dalam acara individu.

"Acara lain seperti beregu lelaki dan beregu campuran harus bangkit sekali gus memberikan aksi cemerlang," katanya.

Dalam aksi hari ini, perseorangan pertama, Liew Daren gagal menghadiahkan mata selepas tewas 13-21, 14-21 kepada juara dunia, Kento Momota sebelum gandingan V Shem-Wee Kiong tewas 18-21, 18-21 kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Harapan untuk menyaksikan perseorangan kedua, Lee Zii Jia menghidupkan peluang Malaysia juga tidak kesampaian selepas dia tewas 18-21, 17-21 kepada Kenta Nishimoto.

Sementara itu, Zii Jia berkata, dia mahu melupakan kekalahan hari ini.

"Ini adalah kali pertama saya jumpa pemain yang berada di kedudukan jauh lebih baik berbanding saya dan saya akui aksi saya hari ini kurang baik.

"Kami semua perlu lupakan kekalahan ini dan berikan tumpuan kepada acara individu, sekarang ini kami akan kembali jalani latihan sebelum turun beraksi," katanya.

Berita berkaitan:

Malaysia disingkirkan Jepun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:54 PM