GOH V Shem dan Tan Wee Kiong tewas kepada pasangan Indonesia Marcus Femaldi Gideon-Kelvin Sanjaya Sukamuijo dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
GOH V Shem dan Tan Wee Kiong tewas kepada pasangan Indonesia Marcus Femaldi Gideon-Kelvin Sanjaya Sukamuijo dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fabian Peter


SKUAD badminton negara gagal melepasi sasaran awal untuk mara ke separuh akhir kejohanan berpasukan Piala Thomas 2018 apabila tunduk 1-3 kepada Indonesia di suku akhir, sebentar tadi.

Kejayaan mara ke suku akhir kali ini sekadar menyamai pencapaian layak ke peringkat lapan terbaik ketika edisi 2010 dan 2012.

Ketika edisi 2016, Malaysia mara ke separuh akhir sebelum tunduk kepada Denmark, dan dua tahun sebelum itu (2014), skuad negara dikecewakan Jepun di pentas final di India.

Dalam saingan suku akhir tadi, pemain perseorangan pertama Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan untuk meraih mata pertama apabila menumbangkan Anthony Sinisuka Ginting dengan straight set, 21-19, 21-16 dalam tempoh 47 minit.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turun selaku beregu utama negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas dalam saingan tiga set menentang beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 19-21, 22-20, 13-21.

Dalam pertarungan selama 51 minit itu, aksi di gelanggang kerap terganggu dengan gelagat provokasi kedua-dua beregu sehingga pengadil perlawanan terpaksa memberi amaran.

Ketika kedudukan terikat 1-1, skuad negara sekali lagi mengharapkan sentuhan ajaib pemain muda Lee Zii Jia untuk mencipta kejutan berdepan Jonatan Christie dalam acara perseorangan kedua.

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 terpaksa akur dengan pengalaman dimiliki Christie apabila tumbang dalam pertarungan tiga set, 15-21, 21-11, 11-21.

Kekalahan dalam tempoh 44 minit itu menyaksikan skuad negara bergantung harapan kepada beregu kedua, Aaron Chia-Teo Ee Yi untuk menyamakan kedudukan sekali gus mengheret ke perlawanan kelima atau penentuan.

Pasangan negara itu tewas 18-21 di set pertama tetapi bangkit menyamakan kedudukan di set kedua dengan keputusan 21-10.

Namun, mereka gagal mengekalkan rentak permainan apabila tewas 9-21 di set penentuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 12:16 AM