PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika beraksi menentang Kento Nishimoto dari Jepun dalam acara badminton berpasukan lelaki pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Istora Senayan. Foto BERNAMA
PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika beraksi menentang Kento Nishimoto dari Jepun dalam acara badminton berpasukan lelaki pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Istora Senayan. Foto BERNAMA
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

TEWAS awal dalam aksi berpasukan kepada Jepun tidak mematahkan semangat perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia yang berazam untuk menampilkan aksi lebih meyakinkan dalam acara individu di Sukan Asia 2018 bermula Khamis ini.

Pemain berusia 22 tahun itu enggan terlalu terbawa-bawa dengan kekalahan pasukan negara, Ahad lalu sebaliknya akan terus bekerja keras untuk menampilkan aksi lebih baik selepas ini.

Suasana di Istora Senayan yang dipenuhi penyokong tuan rumah tegasnya, sama sekali tidak mengganggu fokus ketika beraksi dengan tumpuan penuh ke atas permainannya saja.

"Pasukan kita sudah kalah, jadi kita jangan fikir lagi mengenai perkara itu sebaliknya terus beri tumpuan kepada latihan untuk beberapa hari ini sebelum turun dalam acara individu,” kata Zii Jia.

"Suasana di dalam stadium itu perkara biasa, cuma keadaan angin agak kuat dan saya akan cuba untuk mengatasi masalah itu semasa hari pertandingan."

Menurutnya, undian untuk acara berkenaan belum dilakukan dan fokusnya hanya untuk memberikan aksi terbaik tanpa mengira siapa lawan bakal ditemui.

Skuad badminton negara gagal ke suku akhir acara berpasukan selepas tewas 3-0 kepada Jepun, Ahad lalu dengan Liew Daren, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Zii Jia gagal menyumbang sebarang mata dalam perlawanan itu.

Selain berdepan lawan sukar, pasukan negara juga berdepan provokasi daripada penonton Indonesia yang memberikan sokongan penuh kepada Jepun ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:37 PM