MUHAMMAD HAZIQ NADZLI
MUHAMMAD HAZIQ NADZLI
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

CIKARANG: Penjaga gol skuad B-23 negara, Muhammad Haziq Nadzli mengakui gementar apabila Korea Selatan menekan butang panik dengan menurunkan bintang penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung Min malam tadi.

Penyerang yang melakar nama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta Piala Dunia di Russia itu diturunkan pada separuh masa kedua selepas skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee mendahului 2-0 dalam pertemuan Kumpulan E itu.

Jelas Haziq, dia sedar dan perlu bersedia terhadap semua kemungkinan termasuk lawan akan menurunkan Heung Min bagi memburu kemenangan.

“Ada sedikit gementar kerana tahap permainan dia berbeza. Namun keyakinan saya mula menebal selepas rakan sepasukan berjaya membantu mengawalnya.

“Tekanan sememangnya ada sejak dari awal lagi dengan setiap pemain Korea Selatan dianggap berbahaya. Syukur semua pemain memberikan kerjasama yang baik selain mengikut arahan jurulatih bagi memastikan kemenangan,” kata Haziq.

Tambahnya, kejayaan berkenaan membuktikan tiada yang mustahil dalam bola sepak seperti mana Korea Selatan menewaskan Jerman pada Piala Dunia tempoh hari.

Malaysia yang sudah 44 tahun tidak menewaskan Korea Selatan pada temasya itu melakar kejutan terbesar setakat ini menerusi dua jaringan Safawi Rasid.

Korea Selatan yang juga juara bertahan menurunkan Heung Min pada minit ke-57 namun sekadar berjaya merapatkan jurang menerusi ledakan Hwang Ui Jo pada babak kedua.

Heung Min turut mendapat peluang meledak jaringan namun sepakan percumanya ketika berbaki 10 minit perlawanan sedikit tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 6:41 PM