HEUNG MIN dan Lloris ditenangkan oleh rakan sepasukan apabila berperang mulut sebaik aksi separuh masa pertama berakhir. FOTO Agensi
HEUNG MIN dan Lloris ditenangkan oleh rakan sepasukan apabila berperang mulut sebaik aksi separuh masa pertama berakhir. FOTO Agensi
AFP

HUGO Lloris mengakui bahawa dia sudah berdamai dengan Son Heung Min selepas kedua-dua bintang Tottenham itu terbabit dalam pergaduhan ketika menumpaskan Everton 1-0 sebentar tadi.

Ketika Heung Min berjalan menuju ke terowong pada rehat separuh masa, penjaga gol kelahiran Perancis itu bertekak dengan menjerit serta menolak bahu penyerang Korea Selatan berkenaan.

Tindakan berkenaan ternyata menaikkan kemarahan Heung Min dan kedua-dua mereka ditenangkan oleh rakan sepasukan, Harry Winks serta Mourssa Sissoko.

Lloris tidak berpuas hati dengan kegagalan Heung Min mengeluarkan bola di kawasan tengah sehingga menyebabkan Richarlison mengancam kubu pertahanan mereka.

"Saya rasa melepaskan peluang beberapa saat sebelum rehat kerana disebabkan kami tidak menekan mereka ia menyebabkan saya rasa kurang berpuas hati. Bagaimanapun, inilah bola sepak," kata Lloris.

Kedua-dua mereka tidak dikeluarkan sebaik aksi bersambung ini kerana pengurus, Jose Mourinho cuba untuk mendamaikan mereka.

Heung Min dan Lloris dilihat melupakan peristiwa berkenaan selepas wisel penamat apabila mereka berpelukan tatkala Tottenham mencatat kemenangan kedua sebaik aksi musim ini disambung semula berikutan Covid-19.

Tottenham mengutip mata penuh hasil jaringan sendiri pertahanan Everton, Michael Keane pada separuh masa pertama apabila tertampan rembatan Giovani Lo Celso.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 7:32 AM