SON (kanan) tidak bersedia bersama Spurs. FOTO/AFP
SON (kanan) tidak bersedia bersama Spurs. FOTO/AFP
Reuters

ABU DHABI: Penyingkiran Korea Selatan pada suku akhir Piala Asia, semalam bukan saja diraikan di Qatar tetapi juga di utara London dengan peminat Tottenham Hotspur mengharapkan kepulangan awal penyerangnya Son Heung Min.

Begitupun kegembiraan itu tidak lama kerana sejurus permainan, kapten Korea Selatan itu mengadu dia mengalami keletihan yang melampau selepas 12 hari mengharungi kejohanan benua itu.

Spurs ketika ini dipalit masalah kecederaan dengan penyerang England, Harry Kane dan pemain tengah Dele Alli terpaksa diketepikan lebih sebulan susulan kecederaan.

“Saya benar-benar tidak bersedia. Secara fizikal saya kurang bermaya,” kata Heung Min kepada wartawan Korea Selatan sejurus tewas 0-1 kepada Qatar. “Keadaan fizikal saya tidak bagus. Saya tidak dapat tidur. Saya sepatutnya menjaga diri saya dengan lebih baik.

“Saya fikir saya akan mula berasa lebih baik tapi sebaliknya berlaku. Saya mengenali ramai yang menjangkakan perkara besar daripada pasukan kami. Saya amat marah terhadap diri sendiri kerana tidak mampu bermain dengan baik.

“Saya fikir kami menamatkan saingan dengan keputusan ini disebabkan oleh permainan saya.”

Dianggap sebagai calon pilihan juara, Korea Selatan dijangka berada di laluan untuk mara ke final 1 Februari ini tetapi kekalahan mengejut kepada Qatar melenyapkan impian mereka menamatkan kemarau 59 tahun menjulang Piala Asia.

Heung Min hanya menyertai kempen di Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang China sebagai sebahagian perjanjian dengan Spurs yang membenarkannya bermain pada Sukan Asia Indonesia, tahun lalu.

Begitupun, sejak ketiadaannya, Spurs kehilangan penyerang utama, Kane yang mengalami kecederaan buku lali serius manakala pemain tengah menyerang, Alli mengalami masalah hamstring dengan kedua-duanya dijangka hanya boleh beraksi pada Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:19 AM