RAJAGOBAL (kanan) ketika berkata dengan pembantunya. FOTO/FAIL
RAJAGOBAL (kanan) ketika berkata dengan pembantunya. FOTO/FAIL
Nazri Abu Bakar


KEKUATAN mental dan semangat juang tinggi adalah intipati magis buat PKNS menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit untuk mengikat Melaka United (MU) 3-3  pada aksi kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Selepas ketinggalan tiga gol dengan berbaki tiga minit tidak termasuk masa tambahan, The Red Ants berjaya mencetak gol untuk akhirnya meletakkan tuan rumah berputih mata daripada meraih tiga mata.

Ketua jurulatih PKNS, Datuk K Rajagobal berkata sikap tidak berputus asa anak buahnya memburu jaringan sejak awal babak pertama amat dipuji tambahan selepas ketinggalan 0-3 ketika lawan seolah sudah bakal meraih mata maksimum.

Menurutnya, ia sesuatu yang amat dibanggakan berikutan mereka berjaya mengawal emosi dan fokus untuk menjaringkan gol tanpa mengambil kira kedudukan semasa yang berpihak kepada tuan rumah dengan kelebihan jaringan.

Tiga gol yang dihasilkan menerusi Romel Oswaldo (m-87) Bruno Oliveira (m-88) dan Rafael Ramazotti (m-90) jelas mengejutkan skuad Hang Tuah sehingga penyokong mereka tergamam hasil magis luar biasa terbabit.

"Sudah pasti saya mahu semangat itu diteruskan pada pertemuan berdepan FELDA United selepas ini terutama menerusi usaha konsisten pemain merobek gawang lawan.

"Namun dalam masa sama kami akan terus memperkuat jentera pertahanan berikutan kealpaan menjadi punca MU meledak tiga gol pendahuluan sehingga kami hampir pulang dengan tangan kosong," katanya.

Malah kelonggaran benteng jelas membimbangkan bekas pengendali skuad kebangsaan terbabit berikutan gawang pasukan itu turut bocor dua kali walaupun menang 5-2 keatas PDRM di venue sama minggu lalu.

Sehubungan itu, beliau akan terus memberi penekanan terhadap aspek kekuatan mental kesemua pemain untuk tidak mudah alpa sebaliknya kental fokus mengelak gawang pasukan dibocori.

Beliau juga akan melakukan beberapa perubahan pemain untuk memperkasa kubu pasukan selain perlu membuat pilihan untuk menurunkan empat daripada lima import yang bakal mengisi kesebelasan pasukan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:55 PM