MUHAMMAD Hafizul menjalani latihan di Stadium Perak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu. -Foto ABDULLAH YUSOF
MUHAMMAD Hafizul menjalani latihan di Stadium Perak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu. -Foto ABDULLAH YUSOF
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bersedia untuk menampilkan aksi terbaik bagi memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi sekali gus memastikan Piala Malaysia dibawa pulang ke negeri itu.

Muhammad Hafizul Hakim yang juga penjaga gawang skuad kebangsaan berkata, paling penting dalam perlawanan akhir itu adalah persefahaman antara dirinya dengan pemain pertahanan bagi memastikan tiada langsung ruang diberikan kepada pemain lawan.

“Selain persefahaman semua pemain perlu bermain secara berpasukan bagi memastikan kemenangan dan tidak boleh mengharapkan barisan pertahanan semata-mata.

“Saya berharap kesemua pemain akan mengekalkan prestasi masing-masing termasuk diri saya sendiri dan buat sehabis baik pada perlawanan akhir itu dengan mengekalkan momentum perlawanan separuh akhir (lawan Sabah),” katanya yang ditemui selepas latihan pasukan itu di Stadium Perak di sini, hari ini.

Ditanya sama ada sudah bersedia berhadapan dengan awang import yang juga kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche, Lee Andrew Tuck dan pemain senior, Ashaari Shamsuddin, Muhammad Hafizul Hakim berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Katanya, beberapa siri perlawanan sebelum ini menentang TFC membolehkan dirinya mengetahui taktikal yang akan digunakan sekaligus membolehkannya mengawal gawangnya daripada dibocori.

“Perlawanan akhir amat penting dan sebolehnya pemain mengelakkan daripada melakukan kesilapan di atas padang kerana ia akan mengakibatkan kesan buruk kepada pasukan,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Biodata:

Nama penuh: Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy

Tarikh lahir: 30 Mac 1993

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Tinggi:1.85m

Posisi: Penjaga gol

Nombor jersi: 22

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:46 PM