PEMAIN PDRM selesa beraksi di stadium sendiri.
PEMAIN PDRM selesa beraksi di stadium sendiri.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Fauzi Pilus mengharapkan Stadium Hang Jebat mampu membawa tuah buat anak buahnya yang akan berdepan Kedah pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sambil mengaku pemainnya sudah biasa dengan gelanggang berkenaan, beliau tetap mengharapkan usaha dan sentuhan pemain melebihi apa yang dijangkakan dengan tidak semata-mata mengharapkan tuah dan nasib semata-mata.

Justeru, beliau mahu anak buahnya mengambil kelebihan yang ada untuk mengatasi agregat 2-1 milik pelawat pada saingan pusingan pertama di Alor Setar sebelum ini.

Baki 90 minit permainan amat berharga untuk mereka memberikan yang terbaik dalam misi mencipta kemenangan mengejut ke atas skuad Helang Merah.

“Sepanjang musim ini kami beraksi dengan agak baik di stadium berkenaan dan kini kami bersaing di separuh akhir Piala Malaysia. Sehubungan itu, keserasian terbabit diharap mampu diulangi ketika aksi penting terbabit.

“Walaupun pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Hang Jebat kami sekadar seri dengan Kedah, namun kali ini ia kesempatan terbaik buat pemain menebus kehampaan berkenaan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu namun beliau akan mengenal pasti pemain yang memiliki beberapa kelebihan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Katanya, hanya kemenangan saja yang bakal menjamin pasukannya ke final Piala Malaysia dengan keutamaan ialah untuk menutup setiap ruang bagi mengelak gawang pasukan dibocori.

Baginya, kelebihan memihak kepada Kedah yang dibimbing jurulatih Tan Cheng Hoe tetapi saingan masih terbuka dan pasukannya tetap memiliki peluang yang tidak seharusnya dilepaskan.

Berikutan itu, beliau sudah mengenalpasti kekuatan dan kelemahan lawan yang perlu diberi perhatian ketika bertahan serta mengatur gerak untuk memburu gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:56 AM