ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE
Aziman Rosdi

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Datuk Ong Kim Swee mengakui belum mendapat gandingan terbaik untuk mengemudi jentera tengah bagi mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu depan.

Ketiadaan pemain tonggak Nor Azam Azih yang tidak mendapat pelepasan Pahang dan Syamer Kutty Abba yang mengalami kecederaan menyebabkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah.

“Di bahagian serangan kita ada beberapa pemain yang boleh isi slot mana-mana posisi, di bahagian tengah kita hanya ada beberapa pilihan saja, saya nampak ada sedikit kelemahan di sana,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat hari ini.

Buat kali pertama, Kim Swee menguji barisan 22 pemainnya dalam aksi persahabatan dengan skuad B-23 China yang menyaksikan mereka tewas 1-2, Ahad lalu.

Dalam perlawanan itu, pemain berpengalaman Baddrol Bakhtiar bergandingan dengan pemain berusia 19 tahun, Nik Akif Syahiran Nik Mat yang kemudian digantikan Syahmi Safari.

Daniel Amier Norhisham yang membantu skuad negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China pada Januari lalu pula tidak beraksi akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Kim Swee masih mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan itu apabila anak buahnya turun beraksi pada perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

“Kita tahu kita hanya berlatih selama seminggu tapi kita masih dapat mengekalkan corak permainan kita. Kita kena perbaiki kelemahan kerana kita belum mendapat keserasian sepenuhnya,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pemain yang cedera iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syamer sudah pulih serta Azam dan Matthew Davies akan kembali menyertai pasukan, Kim Swee berkata: “Buat masa ini tiada tambahan lagi, saya hanya tumpukan kepada pemain sedia ada.”

Dalam kempen Sukan Asia kali ini, Malaysia akan berdepan Kyrgyzstan pada 15 Ogos di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung diikuti juara bertahan Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos) dalam Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:22 PM