TIGA pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar (kiri), Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd Radzak dipanggil Ong Kim Swee bagi perkuat skuad B-23 mengharungi Sukan Asia 2018.
TIGA pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar (kiri), Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd Radzak dipanggil Ong Kim Swee bagi perkuat skuad B-23 mengharungi Sukan Asia 2018.
Aziman Rosdi


DUA pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali serta Aidil Zafuan Abdul Razak dari Johor Darul Ta'zim mendapat kepercayaan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk memperkuatkan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bagi mengharungi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan.

Tiga pemain berpengalaman itu melengkapkan kuota pemain lebih umur dalam senarai 24 pemain yang dipanggil bagi menjalani latihan pusat bermula 30 Julai ini sebelum kejohanan bermula pada 14 Ogos hingga 1 September nanti.

Menurut Kim Swee, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk memanggil Baddrol yang bakal menerajui bahagian tengah manakala kudrat Aidil dan Rizal bakal digunakan untuk melindungi benteng pertahanan.

“Bagi kuota pemain lebih umur pula, saya melihat Baddrol sebagai seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula memiliki kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan selain dia juga berpengalaman.

“Saya tidak mengambil pemain lebih umur di posisi penyerang kerana saya percaya dengan kemampuan pemain muda untuk mengambil tanggung jawab di bahagian serangan,” katanya.

Daripada senarai 24 pemain itu, Kim Swee mengekalkan 17 daripada skuad 23 pemain yang membawa Malaysia mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari lalu.

Empat pemain baru yang disenaraikan terdiri daripada Syafiq Ahmad (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC) dan penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil (Kuala Lumpur).

Bagaimanapun, daripada 24 pemain itu, hanya 20 pemain terbaik akan berada dalam senarai akhir pendaftaran pemain ke Sukan Asia 2018.

“Selepas melapor diri di Wisma FAM pada 30 Julai, kita akan berlepas ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu China B-23 pada 5 Ogos dan kembali ke tanah air pada 6 Ogos.

“Kemudian kita akan meneruskan kem latihan di Wisma FAM dan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos. Jika mengikut jadual asal Sukan Asia 2018, kita akan berada di Indonesia pada 12 Ogos sebelum perlawanan pertama yang dijadual pada 14 Ogos,” katanya.

Sementara itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu jika ada mana-mana di kalangan 24 pemain di atas mengalami kecederaan iaitu Adib Zainudin (JDT), Akhyar Rashid (Kedah), R Kogileswaran (Pahang), Shahrul Saad (Perak), Evan Wensley Weveslaus (Sabah) dan Syahmi Safari (Selangor).

Pada kempen Sukan Asia, Malaysia diundi menentang Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

 

SENARAI PEMAIN SKUAD B-23

- PENJAGA GOL

Haziq Nadzli, 20, JDT

Ifwat Akmal Chek Kassim,22, Kedah

Khatul Anuar MD Jalil, 21, Kuala Lumpur

- PERTAHANAN

Dominic Tan, 21, JDT

Adam Nor Azlin, 22, JDT

Aidil Zafuan Abd Radzak, 31, JDT *

Rizal Ghazali,26, Kedah *

Matthew Davies, 23, Pahang

Irfan Zakaria, 23, Kuala Lumpur

Syazwan Andik Ishak, 22, Kuala Lumpur

Rodney Celvin Akwensivie, 22, PKNS FC

Syazwan Zaipol Bahari, 23, Perak

Tommy Mawat Bada, 22, PJ Rangers FC

- TENGAH

Syamer Kutty Abba, 21, JDT

Baddrol Bakhtiar, 30, Kedah *

Nor Azam Azih, 23, Pahang

Faisal Abdul Halim, 20, Pahang

Danial Amier Norhisham, 21, FELDA United

Nik Akif Syahiran Nik Mat, 19, Kelantan

- PENYERANG

Safawi Rasdi, 21, JDT

Syafiq Ahmad, 23, JDT

Hadi Fayyadh Abdul Razak,18, JDT II

Jafri Firdaus Chew, 21, PKNS FC

N Thanabalan, 23, Negeri Sembilan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:00 PM