ONG KIM SWEE
ONG KIM SWEE
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan keputusannya memanggil empat pemain pemain baharu bagi sesi latihan pusat Isnin ini, sebagai langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan.

Berdasarkan waktu yang singkat menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan, beliau tidak mahu persiapannya terus terganggu andai berlakunya masalah pemain mengalami kecederaan pada saat akhir atau tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing.

“Empat pemain dipanggil iaitu Adib Zainudin (Johor Darul Ta’zim II), Akhyar Rashid (Kedah), Kogileswaran Raj (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) untuk bersama 24 pemain yang disenaraikan sebelum ini.

“Tujuan memanggil empat pemain ini adalah untuk memilih pemain yang terbaik dan jika ada pemain cedera apabila melaporkan diri pada Isnin ini, pemain itu akan digugurkan serta merta. Tempoh masa yang ada penting untuk saya dan jika dapat kumpul seberapa ramai pemain, saya tidak perlu memikirkan masalah lain,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Adib, Akhyar, Kogileswaran dan Syahmi sebelum ini berada dalam senarai bersedia dan kehadiran mereka bakal memberikan saingan sengit untuk merebut tempat dalam skuad akhir 20 pemain ke temasya itu.

Empat pemain berkenaan bukan asing dalam skuad B-23 apabila menjadi tonggak kejayaan Malaysia melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Sebelum ini, Kim Swee menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan ada pemain tidak mendapat pelepasan memandangkan tarikh Sukan Asia bertembung dengan kempen Piala Malaysia.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kemungkinan hanya 25 daripada 28 pemain yang dipanggil akan dibawa ke China pada 2 Ogos ini bagi aksi persahabatan.

“Penting untuk saya mengumpul pemain seramai mungkin pada Isnin ini di mana kita tidak mempunyai banyak masa untuk latihan apabila kita bertolak ke China pada 2 Ogos nanti dan kemungkinan kita akan terus ke Bandung untuk menghadapi Sukan Asia.

“Dari China, sesiapa yang digugurkan akan balik ke Kuala Lumpur manakala yang lain akan terus ke Bandung,” kata Kim Swee.

Malaysia berdepan tugas mencabar pada kempen Sukan Asia bermula 10 Ogos ini apabila diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 6:18 PM