PELAYAR NS membawa cabaran di Kejohanan Regatta Terbuka Selangor.
PELAYAR NS membawa cabaran di Kejohanan Regatta Terbuka Selangor.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Jaguh perahu layar Negeri Sembilan kategori Optimist Putra Adry Haqqim Mohd Fuad, 13, tetap berpuas hati biarpun sekadar meraih gangsa pada Kejohanan Regatta Terbuka Selangor 2015, di Batu Laut Kuala Langat, Selangor, baru-baru ini.

Juara Regatta Antarabangsa Pulau Pinang 2015 itu mengakui gagal mengekalkan rentak kejuaraan apabila dipintas Muhd Afiq Irsyad Adam dari Selangor dan Mohd Shahrul Fitri Ali dari Kedah.

Pada awalnya, pelajar tingkatan satu SMK Bukit Saujana Port Dickson itu dilihat berupaya meraih kejuaraan tetapi gagal pada saat akhir.

“Biarpun meraih tempat ketiga, saya tetap berpuas hati kerana dapat menyumbang pingat kepada pasukan.

“Saya akan terus berusaha keras dan menjalani latihan lebih gigih untuk meraih kejuaraan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perahu Layar Negeri Sembilan (PPLNS) Lawrence Yeow berkata, PPLNS mempertaruhkan 14 pelayar termasuk lima perempuan bagi menyertai lima kategori iaitu Optimist Lelaki, Laser Lelaki dan Perempuan 4.7 serta International 420 perempuan.

Menurutnya, antara pelayar menggalas cabaran ialah Muhd Raof Salleh, Mohd Fakrul Salleh, Muhd Amir Idhwan Salleh, Mohd Zulkafli Razali Shamuddin, Muhammad Najmi Salimi, Nur Mazlina Masturi, Muhamad Syukri Masturi, Nor Rauzie Rauter Mohd Rauter, Muhammad Adam Ariff Nor Azli, Mohd Alif Harith Zulazuri, Anis Asyikin Salimi, Puteri Erine Nabila Mohd Puad dan Maryam Sarip.

Katanya, semua pelayar berusaha memberikan persembahan terbaik terutama pada pusingan awal namun berjaya dipintas pelayar pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:23 PM