ATLET perahu layar Negeri Sembilan menjalani latihan di Port Dickson. -FOTO Ihsan PPLNS.
ATLET perahu layar Negeri Sembilan menjalani latihan di Port Dickson. -FOTO Ihsan PPLNS.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Perahu Layar Negeri Sembilan (PPLNS) berhasrat untuk menyertai empat acara yang diyakini mampu menyumbang pingat emas buat pasukan itu pada temasya Sukan Malaysia 2022 (Sukma 2022) di Kuala Lumpur, tahun ini.

Ketua jurulatih perahu layar Negeri Sembilan, Abd Halim Hassan berkata, empat acara itu ialah Optimist, Laser Radial, Laser 4.7 dan International 420.

Katanya, seramai 14 orang atlet sedang membuat persiapan dengan menjalani latihan intensif di Kelab Perahu Layar Port Dickson.

"Negeri Sembilan tidak bercadang untuk menyertai lebih banyak acara kerana beberapa faktor termasuk kesediaan atlet, namun kita sudah memulakan persiapan dengan menjalani latihan intensif di Port Dickson, walaupun lokasi pertandingan belum dimaklumkan oleh pihak penganjur.

"Kita perlu buat persiapan terbaik untuk mengembalikan semula prestasi atlet selepas dua tahun mereka tidak menyertai sebarang kejohanan selepas kali terakhir pada Sukma 2018 di Perak, angkara wabak pandemik Covid-19.

"Empat acara yang bakal kita sertai ini diyakini mampu menyumbang pingat emas kerana kita akan menampilkan pelayar berpengalaman," katanya.

Menurut Abd Halim, dua pelayar berpengalaman iaitu Putra Danish Mohd Fuad dan Mohd Wajidi Abdullah bagi acara 420, antara yang dipertaruhkan bagi meraih pingat emas pada temasya sukan terbesar negara itu.

Beliau akui cabaran kali ini sukar diramal kerana setiap pasukan sudah lama tidak menyertai mana-mana kejohanan dan pencapaian pada Sukma 2018 di Perak, tidak boleh dijadikan ukuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:53 PM