MOHAMAD (kiri) menyampaikan insentif kepada Muhamad Irfan.
MOHAMAD (kiri) menyampaikan insentif kepada Muhamad Irfan.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan sukan negeri ini diingatkan supaya membuat persiapan rapi dengan menyediakan atlet berprestasi tinggi bagi mewakili Negeri Sembilan ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18, di Sarawak tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak mahu persatuan sukan membuat persiapan secara tergesa-gesa pada saat akhir kerana ia akan menjejaskan matlamat untuk mencapai kejayaan cemerlang pada temasya sukan terbesar negara itu.

“Kita sudah kenal pasti beberapa persatuan sukan yang masih belum membuat persiapan menyediakan atlet terbaik menghadapi SUKMA tahun depan.

“Mereka masih mengamalkan sikap sepertimana sebelum ini dengan menamakan atlet di saat-saat akhir hingga menyukarkan atlet terbabit membuat persiapan latihan sekali gus menyebabkan mereka gagal beraksi dengan cemerlang.

“Saya berharap persatuan sukan berkenaan mengubah sikap dan mengambil tindakan drastik mengenal pasti atlet terbaik serta menyusun jadual latihan komprehensif bagi memastikan atlet benar-benar bersedia menggalas cabaran dan mampu merangkul kejayaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Atlet Sukan SEA Ke-28 di Singapura, di Wisma Negeri, baru-baru ini.

Seramai 16 atlet Negeri Sembilan masing-masing menerima insentif sebanyak RM3,000 bagi pingat emas, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000).

Antara atlet yang menerima insentif ialah jaguh lempar cakera dan perahu layar kebangsaan, Muhamad Irfan Shamsuddin dan Mohd Uzair Amin Mohd Yusof serta pemain badminton, Mohd Arif Latif.

Mohamad berkata, kerajaan negeri menerusi Majls Sukan Negeri Sembilan (MSNS) menyediakan peruntukan kewangan khas kepada persatuan sukan bagi memastikan usaha membentuk kontinjen yang mantap bagi SUKMA 2016 tidak terjejas.

“Kita menyediakan peruntukan dan perbelanjaan besar setiap tahun dengan harapan prestasi Negeri Sembilan dalam SUKMA dapat ditingkatkan.

“Bagaimanapun, terdapat persatuan sukan yang lebih suka berpolitik hingga memberi kesan kepada prestasi atlet,” katanya.

Mohamad yang menerajui beberapa persatuan sukan negeri antaranya Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sudah mengarahkan MSNS mengenal pasti atlet yang sepatutnya mewakili negeri itu tetapi beraksi di negeri lain.

“Lebih mengecewakan atlet terbabit menunjukkan prestasi cemerlang dan meraih pingat ketika mewakili negeri terbabit dalam temasya SUKMA sebelum ini,” katanya.

Pada temasya di Perlis tahun lalu, kontinjen Negeri Sembilan sekadar berada di tangga ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:38 AM