PAKAR pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan. FOTO Aziah Azmee
PAKAR pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan. FOTO Aziah Azmee
Saiful Affendy Sapran


PENYERANG sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari menegaskan persiapan Malaysian Tigers untuk saingan Sukan Asia di Jakarta bulan depan tidak terjejas meskipun kehilangan tonggak pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan. 

Menurut Faizal, meskipun mengakui ketiadaan Najmi satu kehilangan besar, barisan pemain sedia ada perlu meneruskan tugas yang cukup penting di Jakarta. 

Malaysia diletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas sekali gus meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Kami perlu teruskan perjuangan yang belum selesai. Secara jujur bukan mudah untuk layak ke Sukan Olimpik tetapi ketiadaan Najmi juga tidaklah menjejaskan keseluruhan perancangan pasukan. 

"Dia memang antara kesebelasan utama pasukan tetapi biarlah ruang diberikan kepadanya dan kami semua menghormati keputusannya itu," katanya. 

Faizal berharap Najmi yang juga pakar pukulan sudut penalti sepertinya, akan kembali semula bersama skuad kebangsaan kerana mengakui pemain berusia 23 tahun itu mempunyai potensi yang cukup besar. 

"Saya lihat dia mempunyai karier yang cukup cerah dan mampu pergi jauh. Malah dia ada potensi untuk menjadi kapten pasukan. 

"Kami semua sudah memujuknya untuk kembali tetapi dia tetap dengan keputusannya. Jadi biarlah dia 'berehat' dulu," katanya. 

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan mengenai Najmi yang membuat keputusan mengejut meninggalkan skuad negara tanpa sebab yang jelas. 

Dia sudah pun menyatakan keputusannya itu kepada ketua jurulatih, Stephen Van Huizen selain mengemukakan surat rasmi kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). 

Keputusan Najmi itu dilihat memberi tamparan kepada persiapan pasukan menjelang Sukan Asia di Jakarta.   

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:44 PM