Faizal (kanan) dan Fitri Saari ketika mewakili skuad negara. FOTO File NSTP
Faizal (kanan) dan Fitri Saari ketika mewakili skuad negara. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


FAIZAL Saari mengakui perlu membuat pertimbangan sewajarnya sekiranya dipanggil kembali menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Tegas penyerang prolifik skuad hoki negara itu, dia mahu memastikan bahawa khidmatnya benar-benar diperlukan selain mengakui bukan mudah untuk dipanggil semula selepas ketua jurulatih, Roelant Oltmans menyenaraikan barisan pemain pilihannya sebelum ini.

"Saya perlu tahu adakah saya diperlukan lagi oleh jurulatih atau tidak. Bukan senang nak dapat panggilan, biasanya selepas liga akan ada panggilan baru.

"Kalau tiba-tiba sahaja dapat panggilan, saya perlu bersedia dengan pelbagai perkara termasuk tahap kecergasan saya," katanya.

Faizal berkata, penggugurannya sebelum ini juga disifatkan agak mengejutkan dan tidak mempunyai sebab yang khusus.

"Dalam isu ini, saya cuma berharap ada sikap saling menghormati antara jurulatih dan pemain kerana bagi saya, hoki adalah sebuah kerjaya," katanya yang kini menjalankan klinik hoki untuk mereka yang berminat mempelajari sukan itu dengan lebih mendalam.

Sementara itu, Fitri yang juga adik Faizal mengakui fokusnya kini lebih terarah kepada kerjaya apabila sudah menerima tawaran bekerja di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya perlu melihat kepada situasi semasa, jika menerima panggilan ke skuad negara, saya perlu mendapatkan pelepasan daripada MSN terlebih dahulu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menerusi laporan Arena Metro berkata, pintu tidak pernah tertutup kepada mana-mana pemain terutama pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri untuk kembali membarisi skuad kebangsaan.

Februari lalu, Oltmans membuat keputusan mengejut menggugurkan beberapa nama besar termasuk Faizal dan Fitri dalam senarai baharu kem latihan skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:59 PM