Dhaarma puashati prestasi tujuh pemain. FOTO HM Digital
Dhaarma puashati prestasi tujuh pemain. FOTO HM Digital
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Pencapaian positif tujuh pemain skuad hoki wanita negara yang beraksi bersama kelab Eropah nyata memuaskan hati ketua jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. 

Meskipun baru beberapa perlawanan, Dhaarma menyifatkan setiap pemain terbabit sudah dapat mempamerkan permainan cemerlang dan tidak menjadikan faktor persekitaran sebagai alasan untuk mereka kurang menyerlah. 

Tujuh pemain itu ialah Raja Sharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda di Glasgow, Scotland mewakili pasukan Uddingston, sementara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti bersama Wespen Zehlendorfer yang bersaing dalam saingan utama Liga Jerman. 

Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri pula beraksi untuk pasukan  Butterfly Roma HCC di Liga Itali. 

"Ada antara mereka seperti Hanis Nadiah sudah berjaya menyumbang gol kepada pasukan. 

"Mereka bukan saja belajar bagaimana untuk beraksi dengan pasukan Eropah, tetapi menambahkan kekuatan mental apabila berdepan situasi sukar seperti kekalahan. 

"Inilah pengalaman yang paling bermakna kepada mereka agar dapat dimanfaatkan apabila pulang bersama skuad kebangsaan," katanya. 

Dhaarma juga mengakui tertunggu-tunggu aksi seorang lagi pemain iaitu penjaga gol terbaik Asia, Farah Ayuni Yahya bersama pasukan East Grinstead HC yang beraksi dalam Liga Premier England.  

Grinstead dijadualkan bertemu Beeston pada perlawanan kedua liga esok dan ia mungkin menjadi pengalaman pertama untuk  Farah sekiranya diturunkan. 

"Saya memang menanti-nantikan aksi Farah kerana kelab yang diwakilinya adalah antara kelab yang terbaik apabila menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik liga musim lalu. 

"Kelab itu juga dibarisi beberapa pemain kebangsaan England. Adalah satu penghormatan untuk Farah sekiranya dia diturunkan esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 3:27 PM