NAJMI (kiri) tinggalkan skuad kebangsaan. -Foto fail
NAJMI (kiri) tinggalkan skuad kebangsaan. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Keputusan pemain pertahanan negara, Najmi Farizal Jazlan meninggalkan skuad hoki kebangsaan mencetuskan persoalan, bukan saja kepada peminat tetapi rakan sepasukannya.

Difahamkan Najmi hanya memberitahu hasratnya itu kepada ketua jurulatih, Stephen Van Huizen tetapi tidak berkongsi sebab utama mengapa dia mengambil keputusan drastik itu kepada rakan sepasukan yang lain.

Kapten skuad hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata, dia difahamkan Najmi sudah menghantar surat rasmi kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menyatakan keputusan untuk berundur daripada skuad negara.

“Sebagai rakan sepasukan, saya sangat kecewa dengan keputusannya itu. Sebab kami semakin hampir untuk melakukan persiapan ke Sukan Asia di Jakarta. Dia pula salah seorang pemain utama dalam pasukan.

“Apapun, jika benar dia sudah tidak berminat lagi mewakili negara, saya tetap menghormati keputusannya itu,” katanya.

Jelas Sukri, dia sendiri gagal menghubungi Najmi untuk mendapatkan penjelasan lanjut selepas rakannya itu tidak menyertai kem latihan skuad negara sebaik berakhir cuti sambutan Aidilfitri.

“Secara jujur saya tidak tahu apa alasan sebenar Najmi. Bukan saya saja, rakan sepasukan lain pun tak dapat menghubunginya,” katanya.

Kali terakhir Najmi melakukan penampilan bersama skuad negara ketika siri perlawanan persahabatan di Argentina, Mei lalu.

Skuad negara pula ketika ini berada di dalam fasa akhir ke Sukan Asia di Jakarta bulan depan dengan sasaran untuk memenangi pingat emas bagi membolehkan mereka meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Stephen gagal dihubungi untuk mengulas isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:10 PM