AHMAD  Najmi (tiga kanan) bersama Faizal (tiga kiri) pada sidang media hari ini. FOTO MHC
AHMAD Najmi (tiga kanan) bersama Faizal (tiga kiri) pada sidang media hari ini. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari bakal melakar sejarah muncul pemain pertama yang akan beraksi di liga utama Belanda, Hoofdklasse bersama kelab hoki ZSV Schaerweijde.

Bintang berusia 31 tahun itu berjaya memikat Schaerweijde yang baru naik ke liga utama dan ditawarkan kontrak selama 10 bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, Faizal akan berlepas ke Belanda, Khamis ini.

"Liga di Belanda akan berhenti pada November, jadi Faizal akan pulang untuk menyambung latihan bersama pasukan kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih Arul Selvaraj dan akan juga bermain di Liga Negara-Negara serta beraksi bersama Terengganu Hockey Team (THT) di Liga Hoki Malaysia.

"Faizal akan dibekalkan sistem GPS oleh jurulatih kecergasan, Tom Drowley untuk memantau prestasinya semasa beraksi di Liga Hoofdklasse.

"Pasukan Schaerweijde sendiri menghubungi Arul untuk bercakap dengan Faizal dan dia sendiri bersemangat mahu pergi ke Belanda untuk menimba ilmu dan juga menyesuaikan diri dengan keadaan di sana," katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Faizal yang pernah beraksi beberapa kali di liga dekat luar negara termasuk di Australia, Jerman dan India mengakui teruja untuk beraksi di Belanda.

"Kita tahu liga di sana tempo permainnya sangat tinggi dan bagus untuk saya serta pasukan kebangsaaan.

"Ia tugas yang berat tapi saya akan cuba sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia dan saya mahu beraksi pada tahap terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:32 PM