PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. FOTO Owee Ah Chun
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal meminta pemain tidak bersara selepas kegagalan mereka meraih pingat emas serta tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berakhir Ahad lalu. 

Menurutnya, beliau sudah menemui setiap pemain menyatakan harapannya itu kerana berpendapat Malaysian Tigers masih mempunyai satu lagi peluang ke Olimpik menerusi kempen kelayakan yang berlangsung tahun depan. 

"Saya tak mahu dengar mana-mana pemain menyatakan mahu bersara atau sudah berputus asa. Kita tahu saingan (Sukan Asia) sudah tamat tetapi peperangan belum berakhir. Kita masih mempunyai perjalanan yang jauh lagi. 

"Selagi kita ada peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik 2020, jangan ada dalam kalangan pemain yang berputus asa. Itu bukan namanya pejuang," katanya. 

Tegas Subahan, jika beliau sanggup terus bersama badan induk itu dan mempertaruhkan jawatannya seandainya Malaysia tidak layak ke temasya sukan terbesar dunia itu, maka perkara sama juga dituntut daripada setiap pemain. 

"Apabila setiap pemain kembali menjalani latihan pada minggu depan, maka kita kita akan memulakan perjuangan semula. 

"Saya tetap yakin kita akan layak ke Olimpik," katanya. 

Beberapa pemain seperti penjaga gol, S Kumar, Muhammad Razie Abdul Rahim, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor serta kapten, Mohamad Sukri Abdul Mutalib dilihat sudah berada di hujung karier tetapi kekal memberi komitmen bersama skuad kebangsaan.   

Skuad negara bakal melalui ranjau berliku apabila perlu menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik pada Final Siri Hoki yang akan berlangsung dari 23 April sehingga 1 Mei 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, yang membabitkan tujuh lagi pasukan. 

Andai melepasi peringkat itu, Malaysia akan beraksi pada saingan Kelayakan Olimpik pada hujung tahun depan yang menjadi menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Tokyo.  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 3:10 PM