LUKAKU ketika mengawal bola dari asakan England. Foto/AFP
LUKAKU ketika mengawal bola dari asakan England. Foto/AFP
Agensi

ROBERTO Martinez melabel Romelu Lukaku sebagai penyerang ‘sempurna’ buat Belgium selepas skuad kendaliannya menewaskan England 2-0 dalam penentuan tempat ketiga Piala Dunia.

Lukaku yang juga penyerang Manchester United melepaskan beberapa peluang terhidang di awal permainan sebelum dia dikeluarkan pada minit ke-60 sekali gus menamatkan kempen di Russia dengan mengumpul empat gol.

Sekali pun tampil dengan aksi cukup mengujakan ketika bertemu Brazil di suku akhir, Lukaku gagal menyerlah ketika menentang Jepun dan prestasinya tampak merudum ketika Belgium tumbang kepada Perancis di separuh akhir.

Begitupun, Martinez tetap memuji sumbangan pemain berusia 25 tahun itu yang pernah dibimbingnya di Everton pada musim 2013 hingga 2016 dengan menegaskan gol bukan satu-satunya petunjuk untuk menganalisa prestasi Lukaku di Russia.

“Saya fikir Romelu mengharungi kejohanan yang menakjubkan. Saya gembira dengan sumbangannya, sumbangannya lebih daripada sekadar menjaringkan gol,” kata Martinez.

“Saya menghargai mentaliti Romelu, dia adalah pemenang. Saya tidak fikir dia ada kebimbangan untuk bermain dalam perlawanan yang besar. Dia adalah pemain nombor sembilan yang sempurna buat kami.

“Kekuatannya, kemampuannya untuk menjaringkan gol dan menggerakkan dan memperdayakan pertahanan, saya sudah cukup gembira dengan apa yang dilakukannya.

“Dia tidak memulakan kejohanan untuk menjadi penjaring terbanyak, dia tidak berada di sini untuk dirinya sendiri, dia berada di sini untuk membantu pasukan dan ia adalah tanda kematangannya dan dia adalah antara bakat paling menyinar buat bola sepak Belgium di usia yang muda.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 10:49 AM