LUKAKU (dua dari kiri) rai gol pertama United. - Foto REUTERS
LUKAKU (dua dari kiri) rai gol pertama United. - Foto REUTERS
AFP

MANCHESTER: Jose Mourinho memuji pemainnya berikutan prestasi ‘sempurna’ di babak pertama ketika Romelu Lukaku meledak gol ke-100 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan Manchester United mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

Penyerang Belgium itu meletakkan namanya selaku penjaring bersama Alexis Sanchez yang menjaringkan gol kedua dalam 11 perlawanan bersama United ketika Red Devils menewaskan kelab bergelut, Swansea City 2-0, semalam.

Selepas dikritik kurang ‘personaliti, kelas dan keinginan’ secara terbuka oleh pengendali dari Portugal itu sekali pun meraih kemenangan di kancah Piala FA ke atas Brighton, dua minggu lalu, pemain-pemain United tampak tidak terkesan dan membalasnya dengan penuh bergaya. 

“Separuh masa pertama adalah sempurna,” kata Mourinho. “Satu daripada separuh masa terbaik yang pernah kami mainkan di sini.

“Mereka (Swansea) tidak melintasi garisan tengah padang, mereka tidak memperoleh satu pun cubaan ke gawang. Kami amat kuat, kami memperoleh begitu banyak gerakan, hantaran, kami tiba dengan begitu banyak posisi yang bahaya, menjaringkan dua gol dan sepatutnya memperoleh satu lagi jaringan.

Gol ke-100 Lukaku tiba selepas lima minit perlawanan bermula berpunca daripada gerakan Jesse Lingard dan Sanchez sebelum pemain kebangsaan Chile itu meledak gol kedua 15 minit kemudian.

“Saya amat gembira untuk meraih kejayaan itu,” kata Lukaku. “Ia mimpi menjadi kenyataan. Saya amat gembira untuk mencapainya dalam saingan liga yang saya ingin sertai sejak saya berusia enam tahun.”

Sementara itu, Mourinho menyalahkan keletihan daripada kempen antarabangsa minggu lalu sebagai satu daripada punca pasukannya tampak kurang bermaya pada babak kedua.

“Saya fikir semua orang bermain dengan amat baik pada babak pertama. Babak kedua, saya fikir Alexis satu daripada pemain yang terkesan daripada perlawanan antarabangsa, bermain dua perlawanan dalam tiga hari.”

Menghuni tangga kedua liga dan berada di separuh akhir Piala FA untuk bertemu Tottenham, Mourinho ketika ini jelas tampak gembira.

“Musim lepas kami menang gelaran tetapi menamatkan saingan liga di tangga keenam. Kami mahu menamatkan kempen musim ini di tangga kedua dan memperoleh lebih 10 mata berbanding musim lalu, lebih gol, kurang melepaskan jaringan tetapi ada kelab (Man City) yang menjadikan ia mustahil untuk diikuti.

“Di liga lain, kami mungkin bertarung untuk kejuaraan. Kami memperoleh musim yang positif dan masih beraksi dalam saingan Piala FA.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:49 AM