LUKAKU (dua kiri) meledak gol ketiga Inter menentang Lecce dalam Serie A, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
LUKAKU (dua kiri) meledak gol ketiga Inter menentang Lecce dalam Serie A, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku meledak gol pada penampilan sulungnya bersama Inter Milan ketika Antonio Conte memulakan tugas sempurna sebagai jurulatih apabila menang 4-0 ke atas Lecce, awal pagi tadi.

Lukaku – pembelian dengan harga 65 juta euro (RM303 juta) dari Manchester United pada musim panas kali ini – menyumbat gol ketiga selepas sejam aksi Serie A Itali di San Siro.

Kesilapan penjaga gol Lecce, Gabriel menumbuk lemah rembatan kencang Lautaro Martinez membolehkan Lukaku menampan masuk bola muntah.

Pemain berusia 26 tahun itu berpusing dan menunduk hormat di depan penyokong Inter dalam kalangan 65,000 penonton.

BROZOVIC (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di San Siro. — FOTO Reuters
BROZOVIC (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di San Siro. — FOTO Reuters

“Permulaan yang mengagumkan, tapi kini kami mesti menjadi dinamit,” kata Conte ketika beliau memulakan kempen untuk menyingkirkan juara bertahan lapan kali Juventus.

“Lukaku menyertai dunia Inter dengan cara terbaik, dengan rasa rendah hati yang hebat.

“Dia seorang gergasi yang baik, gergasi dengan satu senyuman. Dia sedia untuk bekerja buat pasukan. Tapi bukan hanya Romelu, Lautaro turut bermain dengan amat bagus.”

Pemain Croatia, Marcelo Brozovic membuka tirai jaringan selepas 21 minit menerusi rembatan kencang bagi gol ke-15 dalam musim keenam bersama Inter.

MARTINEZ (kiri) mendapat pujian Conte. — FOTO EPA
MARTINEZ (kiri) mendapat pujian Conte. — FOTO EPA

Namun seorang lagi pemain baharu Stefano Sensi, beraksi secara pinjaman dari Sassuolo, turut menemui sasaran dengan tendangan leret tiga minit kemudian.

Lecce beraksi 15 minit terakhir kurang seorang pemain selepas pemain Brazil, Diego Farias dilayangkan kad merah pada perlawanan sulungnya kerana terjahan keras ke atas bekas rakan sepasukan Cagliari, Nicolo Barella.

Antonio Candreva meledak masuk gol keempat pada minit ke-84, membolehkan Inter menyamai pencapaian juara Juventus dan naib juara Napoli, masing-masing menang aksi pembukaan pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:58 AM