MANDZUKIC kini bersama Juventus. FOTO/AFP
MANDZUKIC kini bersama Juventus. FOTO/AFP
AFP

ZAGREB: Wira Croatia di separuh akhir, Mario Mandzukic sering menjadikan tebing sungai Sava di daerah kelahirannya di Slavonia sebagai tempat untuk menghasilkan kekuatannya.

Jurulatih pertama bintang Juventus itu, Damir Ruhek, 58, masih lagi dapat mengingati apa yang Mandzukic lakukan setiap kali pulang ke kampung halamannya.

Mandzukic mula menetap di daerah Slavonski Brod pada usia 10 tahun selepas dipaksa meninggalkan Bosnia dan Jerman gara-gara peperangan yang dilalui Croatia dalam usaha menuntut kemerdekaan.

“Selepas dua atau tiga sesi latihan awalnya, saya sudah dapat rasakan bahawa dia mempunyai sesuatu yang istimewa. Dia cukup menyerlah di dalam pasukannya. Dia juga mempunyai tenaga yang seolah-olah tidak pernah habis,” kata Ruhek.

Dengan masalah kekurangan padang latihan akibat perang selain kehadiran tentera Serbia di seberang Sava, Mandzukic dan rakan sepasukannya terpaksa menjalani latihan di pantai Poloj yang terletak lebih 2.5 kilometer dari tempat tinggalnya.

“Untuk membawa pemain ke sana, saya membawa dua penjaga gol di dalam sebuah kereta... tetapi pemain lain perlu berjoging ke sana dan Mandzukic pasti menjadi pemain pertama yang tiba,” tambah Ruhek.

Setahun selepas bergelar profesional bersama kelab NK Marsonia, Mandzukic dibeli kelab divisyen tiga, NK Zagreb sebelum berpindah ke kelab utama Croatia, Dinamo Zagreb.

Pemain yang digelar ‘Super Mario’ oleh rakan-rakannya itu juga pernah bersama kelab utama Eropah seperti Bayern Munich, Atletico Madrid dan kini Juve.

Rabu lalu, dia menjaringkan gol kemenangan ke atas England sekali gus membawa Croatia ke final pertama mereka di Piala Dunia.

Bagaimanapun, dia tidak pernah lupa asal usulnya.

“Setiap tahun, memang setiap tahun dia akan pulang, dia akan membawa jersi dan kasut untuk pemain remaja di akademi dan beberapa tahun lalu, dia memberi kami wang untuk membina semula bilik persalinan serta bilik air kami,” kata Ruhek. “Dia tidak pernah lupakan kami.”

Sehari selepas dia membawa pasukannya ke final, Mandzukic dihargai kerajaan tempatan di daerahnya dengan Datuk Bandar, Mirko Duspara melabelnya sebagai seorang ahli sukan yang paling berbakat tetapi apa yang lebih penting, dia juga seorang pemurah.

Dengan 32 gol yang sudah dijaringkan, Mandzukic adalah penjaring kedua terbanyak dalam sejarah bola sepak Croatia, di belakang seorang lagi wira yang juga dilahirkan di Slavonia, Davor Suker - pemenang Kasut Emas Piala Dunia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 7:20 AM