MARIO Mandzukic. Foto REUTERS
MARIO Mandzukic. Foto REUTERS
Reuters

PENYERANG Croatia, Mario Mandzukic mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa sebulan selepas membantu negara Balkan itu mara ke final Piala Dunia buat kali pertama.

Penyerang Juventus berusia 32 tahun itu menjaringkan 33 gol untuk Croatia dalam 89 penampilan sejak 2007 dan hanya kurang dua jaringan berbanding penjaring terbanyak Davor Suker.

Mandzukic menjaringkan tiga gol sepanjang kempen Piala Dunia lalu tetapi tewas di tangan Perancis 4-2 pada aksi final.

"Tiada masa yang tepat untuk bersara. Jika mahu kami boleh beraksi untuk Croatia sehingga mati tetapi bagi saya sudah masanya untuk berundur,” kata Mandzukic dalam laman web pasukan kebangsaan.

"Saya sudah memberikan yang terbaik untuk Croatia dan menyumbang kepada kejayaan hebat dalam sejarah bola sepak negara ini. Saya menyanjungi sokongan anda semua selama ini,” katanya.

Selain dua Piala Dunia, Mandzukic juga beraksi di Kejohanan Eropah dan dinamakan Pemain Terbaik Tahunan negara itu pada 2012 dan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 4:03 PM