PEMAIN pertahanan Croatia, Domagoj Vida (kanan) nyaris menerima hukuman dari FIFA selepas didapati menyebut ‘kegemilangan terhadap Ukraine’ selepas berjaya menewaskan Russia, kelmarin. FOTO Reuters
PEMAIN pertahanan Croatia, Domagoj Vida (kanan) nyaris menerima hukuman dari FIFA selepas didapati menyebut ‘kegemilangan terhadap Ukraine’ selepas berjaya menewaskan Russia, kelmarin. FOTO Reuters
Reuters

MOSCOW: Rakaman video yang menunjukkan pertahanan Croatia, Domagoj Vida menyebut ‘kegemilangan terhadap Ukraine’ selepas pasukannya menyingkirkan Russia di peringkat suku akhir Piala Dunia tidak berunsur politik, kata pemain berkenaan.

Video berkenaan yang tular di media sosial selepas perlawanan pada Sabtu lalu mengundang kritikan daripada ahli politik Russia sekali gus diberikan amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Hubungan diplomatik Ukraine dan tuan rumah Piala Dunia, Russia kekal tegang selepas pencerobohan di semenanjung Crimea oleh negara berkenaan pada 2014 dan sokongannya kepada pemberontakan pro-Rusia di timur negara itu.

Vida yang berusia 29 tahun pernah beraksi bersama kelab Ukraine, Dynamo Kiev bersama staf kejurulatihan Croatia, Ognjen Vukojevic.

“Saya kesal sesetengah wakil media mentafsirkan komunikasi kami dengan cara sedemikian rupa,” kata Vida dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Croatia (HNS).

“Ia sudah tentu tidak mempunyai mesej politik, tetapi ucapan terima kasih ringkas terhadap semua sokongan dari Ukraine, di mana Vukojevic dan saya menghabiskan tempoh selama beberapa tahun.

“Bukannya niat kami untuk menyinggung sesiapapun. Sepanjang karier saya, saya mempunyai rakan sepasukan daripada pelbagai negara dan saya menghormati mereka semua dan seperti saya mempunyai ramai kawan di Ukraine, saya juga mempunyai ramai rakan di Russia dan saya bangga dengan mereka semua.

“Saya benar-benar berharap mesej ini tidak disalah tafsir sebagai apapun tetapi hanya sebagai ucapan terima kasih kepada rakan kami di Ukraine atas sokongan mereka. Bukan saja ketika perlawanan menentang Russia, tetapi sepanjang Piala Dunia.”

HNS berkata mereka sudah meminta Vida dan Vukojevic serta kesemua pemain dalam skuad kebangsaan Croatia ‘untuk mengelak daripada mengeluarkan sebarang mesej yang berbaur politik di masa depan.’

Croatia bertemu England di peringkat separuh akhir di sini, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 4:35 AM