CHONG Wei fokus menghadapi Terbuka Hong Kong selepas terkandas di pusingan suku akhir Terbuka China.
CHONG Wei fokus menghadapi Terbuka Hong Kong selepas terkandas di pusingan suku akhir Terbuka China.
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak kecewa biarpun terkandas di suku akhir Terbuka China, semalam.

Sebaliknya, pemain nombor tujuh dunia itu gembira kerana kejayaan mara sehingga ke suku akhir membolehkan dia mendapat semula keyakinannya yang hilang susulan kekalahan di pusingan awal dalam dua kejohanan sebelum ini - Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Perkara itu disuarakan Chong Wei kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketilka beliau menghubunginya, semalam.

“Saya ada menghubungi Chong Wei semalam selepas perlawanan dan bertanyakan kepada dia situasinya dalam perlawanan itu. Kalau kita lihat perlawanan itu cukup sengit.

“Apapun, dia memberitahu saya yang dia gembira kerana sudah mendapat semula keyakinannya. Kini, dia fokus untuk menghadapi Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini dan saya harapkan kejayaan akan memihak dia di sana,” kata Norza.

Pemain berusia 35 tahun itu ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Hong Kong, Ng Ka Long apabila tewas 12-21, 21-15, 19-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 70 minit.

Ditanya sama ada Chong Wei mengalami sebarang kecederaan selepas terpaksa mendapatkan bantuan pasukan perubatan ketika terikat 19-19 di set penentuan, Norza memaklumkan pemain itu bebas daripada kecederaan dan boleh beraksi di Terbuka Hong Kong.

Saingan Terbuka Hong Kong adalah kejohanan terakhir buat Chong Wei tahun ini sebelum dia bercuti bagi meluangkan masa bersama keluarga selepas berdepan jadual padat sepanjang 2017.

Jika layak secara merit ke Siri Super Akhir di Dubai sekalipun, Chong Wei memutuskan tidak akan beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 4:00 PM