Jelius Ating. FOTO MALAI ROSMAH TUAH
Jelius Ating. FOTO MALAI ROSMAH TUAH
Ryan Stanley


KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating menyalahkan sikap sambil lewa pemainnya menjadi punca mereka kecundang 2-3 kepada Sarawak, dalam aksi liga di Stadium Negeri, di Kuching, semalam.

Semalam, pemainnya sekali lagi gagal memulakan perlawanan dengan baik apabila melepaskan gol mudah kepada Sarawak, sekali gus menyaksikan mereka tewas walaupun menguasai hampir keseluruhan di babak kedua permainan.

"Ia sama seperti yang berlaku ketika kita bertemu dengan MISC-MIFA di Stadium Likas, sebelum ini apabila kita dibolosi dua gol di awal permainan walaupun memenangi perlawanan itu. Sikap mereka masih sama tetapi kali ini kita tewas,” katanuya.

Sabah cuba bangkit di separuh masa kedua perlawanan, namun hanya mampu meledak satu gol walaupun memiliki banyak peluang baik.

"Kalau dilihat, kita menguasai hampir keseluruhan permainan di separuh masa kedua dan bola hanya tertumpu di kawasan lawan, namun beberapa peluang yang kita miliki gagal membolosi gawang Sarawak.

"Cubaan Randy (Baruh) dan Hamran (Peter) masing-masing terkena tiang dan palang, begitu juga cubaan (Hector Omar) Ramos yang berjaya diselamatkan pertahanan lawan walaupun penjaga gol telah tertewas...kita kurang bernasib baik," katanya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, beliau bukanlah mahu menyalahkan anak buahnya seratus peratus, namun mahu mereka sedar dan tidak mengulangi kesilapan itu di perlawanan akan datang.

"Sebagai jurulatih, saya juga bertanggung jawab, namun kita perlu fokus untuk perlawanan akan datang, kita masih ada empat perlawanan untuk kita perbaiki kedudukan," katanya.

Pada aksi itu, Sarawak mendahului 3-1 di babak masa pertama hasil dua jaringan bekas pemain Sabah, Bobby Gonzales (minit ke-15 dan 27) dan Mateo Roskam (minit ke-36), manakala gol Sabah dijaringkan oleh Maxsius Musa pada minit ke-25.

Usaha Sabah untuk mencari gol di babak kedua gagal walaupun memiliki beberapa peluang baik dan hanya menambah satu gol pada minit ke-67, menerusi Ramos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:21 PM