NABIL MAALOUL
NABIL MAALOUL
AFP

MOSCOW: Impian Piala Dunia bagi keseluruhan dunia Arab kini bergantung terhadap Tunisia, kata jurulatihnya, Nabil Maaloul, hari ini selepas Arab Saudi, Maghribi dan Mesir tersingkir awal daripada kejohanan berprestij itu.

Maaloul berkata kepentingan perlawanan kedua Kumpulan G menentang Belgium di sini, esok menghadirkan sokongan bukan saja dari negara Afrika Utara itu.

“Tidak syak lagi seluruh dunia Arab tertumpu ke arah Tunisia dan harapan mereka kini bersama dengan pasukan kamu,” kata Maaloul.

“Jelas kami merasa lebih tekanan, kami merasakan sedikit rasa bertanggungjawab, kami tidak boleh tewas esok, kami tidak boleh kecewa esok.”

Tunisia tewas 1-2 pada perlawanan pembukaan menentang England tetapi mereka akan membuka kembali peluang untuk mara ke peringkat seterusnya andai mencatat kemenangan ke atas Belgium, esok.

“Kami perlu melakukannya dan melakukan yang terbaik sekali pun dengan banyak kesulitan yang kami akan harungi,” kata Maaloul.

Arab Saudi dan Mesir dijadual bertemu sesama sendiri pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Isnin ini manakala Maghribi berdepan tugasan sukar melawan Sepanyol dengan perlawanan terakhir Tunisia adalah muka baru di Piala Dunia, Panama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 12:15 AM