PIALA Dunia 2022 adalah yang terbaik buat negara Arab. -FOTO Reuters
PIALA Dunia 2022 adalah yang terbaik buat negara Arab. -FOTO Reuters
Reuters

Doha: Masin belum diputuskan sama ada Lionel Messi dari Argentina akan mencapai impian yang sudah lama ditunggu-tunggu atau pemain Perancis, Kylian Mbappe akan memenangi Piala Dunia keduanya sebelum berusia 24 tahun.

Tapi tanpa mengira keputusan pada perlawanan akhir Piala Dunia malam ini yang juga hari Kebangsaan Qatar, rakyat Arab boleh meraikan kejayaan terbaik mereka dalam sejarah Piala Dunia ketika dua pasukan berhak berbangga mengalahkan kedua-dua juara dunia dan naib juara edisi 2022 itu.

Pasukan Maghribi melebihi jangkaan semua dan menjadi pasukan Arab dan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas tiga kemenangan, menumbangkan Belgium, Sepanyol dan Portugal sebelum tewas di tangan juara bertahan.

Kisah dongeng Maghiribi berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Croatia dalam aksi playoff tempat ketiga.

"Jika seseorang memberitahu saya sebelum kejohanan bahawa kami akan bermain tujuh perlawanan di Qatar, kami pasti gembira," kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.

"Semua rakyat Maghribi, Afrika dan Arab melihat bagaimana pasukan ini berjuang dan mahu menggembirakan negara. Kami akan cuba kembali selepas empat tahun," kata jurulatih berusia 47 hanya mengambil alih tugas pada Ogos.

Maghribi menumpaskan pasukan ranking kedua Belgium, mengejutkan juara 2010 Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi 16 terakhir dan meneruskan persembahan cemerlang mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas juara Euro 2016 Portugal.

Namun keputusan positif tidak hanya terhad kepada Atlas Lions. Sekalipun Maghribi satu-satunya negara Arab melepasi peringkat kumpulan, kegagalan Arab Saudi dan Tunisia hadir selepas dua kemenangan mengejut.

Arab Saudi meraih satu daripada kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Argentina, yang mendahului menerusi tendangan penalti Messi.

Bagi Tunisia, mereka mengalahkan Perancis 1-0, sekalipun pasukan Eropah itu merombak pasukan dengan Mbappe hanya masuk sebagai pemain gantian.

Negara Arab meraih keputusan terbaik mereka sebelum ini apabila Tunisia menewaskan Mexico 3-1 pada tahun 1978, Algeria mengejutkan Jerman Barat 2-1 pada tahun 1982, Maghribi menundukkan Portugal 3-1 pada tahun 1986 dan Arab Saudi mengatasi Belgium 1-0 pada tahun 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 10:22 AM