LLORIS buat penampilan ke-100. FOTO/AFP
LLORIS buat penampilan ke-100. FOTO/AFP
AFP

YEKATERINBURG, Russia: Kapten Perancis, Hugo Lloris berkata membuat penampilan ke-100 buat Perancis tidak bermakna jika mereka gagal untuk menewaskan Peru dalam pertemuan Piala Dunia esok.

Pemain berumur 31 tahun yang juga penjaga gol Tottenham Hotspur akan mencipta sejarah peribadi pada saingan Kumpulan C di Yekaterinburg, jika tidak berlaku sebarang kecederaan saat akhir.

Kejayaan di Russia akan membantu Perancis mara ke pusingan kalah mati tetapi Lloris dan pengurus, Didier Deschamps tahu pasukan itu perlu bermain lebih baik berbanding apa yang dilakukan mereka apabila mengalahkan Australia 2-1 dalam perlawanan pembukaan.

“Ia adalah satu kebanggan untuk mencatat nombor yang bersejarah itu (ke-100) tetapi hari ini saya perlu katakan itu bukanlah keutamaan,” katanya.

“Kami berada di tengah saingan Piala Dunia dan apabila anda dapat rasakan apa yang dilakukan di sini tidak sama seperti di kejohanan lain dan anda perlu menikmatinya.

“Cara terbaik untuk menikmatinya adalah kekal menang dan ia adalah penting juga bagi mendapatkan dinamik pasukan.”

Perancis, adalah salah satu pasukan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan pada Piala Dunia, menewaskan Australia pada Sabtu lalu menerusi penalti Antoine Griezmann dan gol sendiri pada 10 minit sebelum tamatnya perlawanan bagi memenangi tiga mata.

“Saya pernah bermain pada Piala Dunia sebelum ini dan merasai tekanan sebelum ini, mungkin itu adalah perbezaannya buat rakan sepasukan lain, tetapi kami berharap dapat bermain lebih baik dan jika kami tidak meningkatkan tahap permainan menentan Peru, maka kami akan berdepan masalah.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 12:05 AM