KANTE (kiri) berlari di setiap bahagian padang. FOTO/AFP
KANTE (kiri) berlari di setiap bahagian padang. FOTO/AFP
AFP

YEKATERINBURG, Russia: Paul Pogba memberi penghormatan kepada pemain tengah N’Golo Kante selepas Perancis mengesahkan tempat ke saingan 16 terbaik Piala Dunia semalam dengan berkata: “Dia mempunyai 15 paru-paru.”

Perancis menewaskan Peru 1-0 di Yekaterinburg untuk mara ke peringkat kalah mati ketika saingan peringkat kumpulan berbaki satu perlawanan.

Barisan Perancis lebih bertahan pada babak kedua namun bola hantaran dan kerja keras pemain Chelsea itu akhirnya berbaloi apabila Perancis melakarkan kemenangan.

“Kami semua sangat baik bersama. Tapi dengan NG (Kante) ia lebih mudah, dia berlari ke mana saja, dia mempunyai 15 paru-paru,” kata bintang Manchester United Pogba yang sering bergurau apabila beraksi bersama Perancis.

“Bola sepak sentiasa menjadi mudah apabila ada pemain seperti itu, ia satu persembahan yang hebat dari satu pasukan.”

Bercakap kepada wartawan, Pogba, 25, berkata: “Kami sudah memenangi dua perlawanan setakat ini, anda dapat lihat beberapa pasukan besar di sini gagal melakukannya.”

Perancis akan beraksi menentang Denmark Selasa ini pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 4:34 AM