EDEN HAZARD
EDEN HAZARD
AFP

BELGIUM tidak meratapi kecederaan yang dihadapi tonggaknya, Eden Hazard selepas bintang Chelsea itu dipapah keluar ketika menewaskan Costa Rica 4-1 di sini, awal pagi tadi.

Hazard terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70 selepas buku lali kaki kanannya mengalami kecederaan tatkala Belgium yang dilabel salah satu calon juara Piala Dunia 2018 membuktikan kemampuan mereka.

Ketika peminat tampak bimbang dengan keadaan Hazard, rakan sepasukan dan pengurus tidak melihat apa yang terjadi ke atas pemain berusia 27 tahun itu sebagai serius dan mampu memberi impak terhadap kempen pasukan di Russia.

“Saya tidak begitu bimbangkan Eden, dia lelaki yang gagah. Dia sentiasa menerima terjahan setiap masa, tapi sejurus selepas itu ia kembali seperti biasa,” kata Romelu Lukaku yang meledak dua gol pada perlawanan itu.

Dries Martens, yang turut meletakkan namanya selaku penjaring dengan menampan masuk sepakan Hazard menambah: “Eden? Kita lihat, dia kuat, saya yakin dia tidak akan apa-apa.”

Pengurus Roberto Martinez juga mengesahkan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Dia amat kuat, kakinya cuma penat menuju hujung perlawanan. Dia amat menikmati prestasinya. Dia seorang yang kuat, dia juga menakjubkan,” katanya.

Adik kepada Hazard yang turut tersenarai dalam skuad Belgium, Thorgan, memberitahu akhbar Belgium SudPresse: “Ia hanya hentakan kecil. Dia tidak apa-apa. Saya perlu meminta maaf kerana ia disebabkan oleh hantaran saya.”

SudPresse melaporkan Hazard menaiki jet peribadi ke London sejurus perlawanan itu dengan Belgium dijadualkan berlepas ke Russia, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 9:37 PM