PEMAIN Belgium dinasihatkan tidak terlalu puas hati menjelang pertemuan pusingan kedua bertemu Jepun. Foto AFP
PEMAIN Belgium dinasihatkan tidak terlalu puas hati menjelang pertemuan pusingan kedua bertemu Jepun. Foto AFP
AFP

DRIES Mertens memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak terlalu berpuas hati menjelang pertemuan pusingan kedua bertemu Jepun, awal pagi Selasa.

Belgium dilabel sebagai pasukan pilihan pada saingan Piala Dunia kali ini dengan generasi emas yang dimiliki oleh mereka mempamer prestasi cemerlang hingga ke pusingan kalah mati.

Skuad bimbingan Roberto Martinez menewaskan England 1-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan G untuk muncul juara kumpulan dan bertemu Jepun di pusingan kedua.

Bagaimanapun Mertens berkata, Belgium tidak mahu mengulangi peristiwa kekalahan pada suku akhir Euro 2016 yang menyaksikan mereka tewas 1-3 di tangan Wales selepas dilabel pasukan pilihan.

“Saya masih mengingati perlawanan dengan Wales. Setiap orang menjangkakan kami mampu menewaskan lawan. Tapi tiba-tiba kami tersingkir.

“Kami tidak akan memandang rendah Jepun kerana mereka mempunyai pasukan yang kuat. Jika mereka mampu mara sejauh ini, bermakna mereka memang bagus,” katanya.

Selepas melakukan sembilan pertukaran ketika mencatat kemenangan ke atas England, Martinez dijangka akan melakukan perubahan dengan membariskan pasukan terkuat seperti ketika bertemu Panama dan Tunisia.

Dengan sembilan gol di Russia setakat ini, Belgium dilihat sebuah pasukan yang kuat.

Penyerang, Romelu Lukaku sudah meledak empat gol daripadanya dengan dua ketika bertemu Tunisia dan Panama ketika di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 1:07 PM