BARISAN pelumba OCT.
BARISAN pelumba OCT.
Malik Muhamad


WALAUPUN baharu ditubuhkan lebih setahun lalu, pasukan Ole Cycling Team (OCT) sudah mula meletakkan sasaran untuk melahirkan pelumba bertaraf kebangsaan dalam tempoh maksimum dua tahun lagi.

Pengurus pasukan, Mohd Shahizam Salleh menegaskan, setakat ini empat pelumba berpotensi untuk diketengahkan sedang giat menjalani latihan, selain turut menyertai beberapa pertandingan MTB (Mountain Bike) di seluruh negara.

“Kami yakin, jika pelumba berpotensi ini iaitu Putra Aliemi Abdul, Ahmad Muzamir Ismail, Engku Syahid Engku Abd Rahman dan Ahmad Azli Talib diberi bimbingan berterusan, kami mampu melahirkan pelumba basikal terbaik negara.

“Hal ini ditambah Terengganu adalah antara ‘kilang’ terbesar negara yang melahirkan ramai atlet berbasikal bertaraf kebangsaan dan dunia termasuk Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa, Mohd Hariff Salleh dan abangnya, Mohd Zamri serta Saufi Mat Senan, ” kata Shahizam.

Selain empat pelumba yang berpotensi itu, Shahizam berkata, pasukannya memiliki beberapa pelumba lain yang mampu bersaing dan menaiki podium, seperti yang dibuktikan ketika muncul naib juara kejohanan MTB di Marang pada Februari lalu.

Selain MTB Marang, mereka juga menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix, Lingai Challenge, Gunung Reng Jamboree, Tesdec Challenge, LDB Internasional Trailer MTB Lurah Bilut, Dungun Jamboree dan Pangor Mountain Bike Challenge.

“Pertandingan terdekat yang bakal kami sertai adalah Kampong Baru MTB Challenge, Kuala Lumpur. Kami meletakkan sasaran podium,” katanya.

Pencapaian OCT itu mula menarik minat pelumba tempatan dan setakat ini, seramai 30 pelumba sudah membarisi pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 1:53 PM