Jasin: Jika kelab lain yang menyertai Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan meletakkan harapan untuk menjuarai perlumbaan itu, Kelab Kayuh Aje dari Bukit Rambai, di sini, mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menetapkan sasaran podium sebaliknya berkayuh demi kesihatan.

Ketua pasukan Mohd Hanapiah Md Lip berkata, penyertaan mereka sekadar penyeri selain bersama mempromosikan kehidupan aktif demi kesihatan dan kesejahteraan.

Tanpa laungan untuk memberikan saingan, pasukan itu bagaimanapun berharap pelumba mereka mampu mendapat kedudukan terbaik, atau setidak-tidaknya berjaya tiba di garisan penamat.

“Bagi kami penyertaan ini lebih kepada memeriahkan suasana dan kami berkayuh untuk bersantai dan mengekalkan kecergasan diri. Malah bertepatan dengan nama kelab kami.

“Kami mempunyai lapan ahli dan semuanya akan menyertai kejohanan bagi kategori Terbuka Metro (Lelaki), jadi berdasarkan usia yang sudah menjangkau 40-an kami tidak mengharapkan kemenangan,” katanya semalam.

Mohd Hanapiah berkata, penyertaan kelabnya pada kejohanan itu bukan kali pertama dan sebelum ini mereka pernah menyertainya di Putrajaya tahun lalu.

Katanya, mereka gembira sekiranya dapat menyertai sirkit itu kerana bagi mereka, tidak ada maknanya dengan memiliki MTB yang mahal tetapi tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan.

“Kami juga aktif menyertai jamboree yang dianjurkan pelbagai kelab berbasikal dan sekurang-sekurangnya kami menyertai dua kejohanan setiap bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:09 AM